Friday, March 12, 2010

Hidup Berjuang..


Hidup berjuang..
Dikala perjalanan hidup yang setiap hari, setiap ketika mesti ditempuhi ini, berusahanya seseorang insan itu untuk melengkapi dirinya dengan wadah-wadah terbaik bagi mencari kesempurnaan sifat seorang insan yang bertuhan, bagi menjadikan diri seorang yang tenguhnya pada pendirian dan juga iman, agar tidak goyah apabila di datangkan padanya ujian. Mencari kelemahan pada diri sebagai ubat dikala kesombongan menguasai diri adalah sesuatu yang perlu bagi kita dalam menjauhi setiap perkara yang tidak baik. Kerana di jadikan Allah, manusia itu bukan hanya pada jasadi, tetapi dijadikan Allah kesempurnaan penciptaan manusia itu dengan akal yang mana dengan akal inilah kita mengawal nafsu dengan keimanan dan ketaqwaan dalam diri. Menatapi sirah-sirah perjuangan orang-orang terdahulu dalam mempertahankan perkara kebaikan dan menolak segala yang mendatangkan kemudharatan, kerana jelas pada mereka kemudharatan itu membinasakan insan, yang juga menghilangkan kebaikan dalam kehidupan atau memungkinkan kecelakaan daripada Tuhan. Mereka itulah para anbia’ alihimussolatu wassalam, para syuhada’, para alim ulama’.

Apakah kiranya perkhabaran Tuhan yang diturunkan dari “Luh mahfuz” ini suatu yang tiada nilai bagi kita? Kenapa keangkuhan dan kedegilan hanya pada kenikmatan yang dikecapi, tetapi tidak pula kepada kepayahan dalam pencarian sinar nur Ilahi? Tertipunya diri dengan keindahan dunia yang tiada nilai tanpa kemantapan iman disisi. Maha Suci Allah yang telah meniupkan fitrah bertuhan kepada setiap hambanya, tetapi adakah kita mengerti? Angkuhnya diri apabila kesenangan menyelubingi diri, kefana’kan dunia dijadikan matlamat yang tertinggi. Insafilah diri dan carilah jalan untuk kembali pada Tuhan kerana kita tidak mampu berdiri dengan hanya seorang diri. Firman Allah yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum- ukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang bukti keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana…”. (Surah al Baqarah :208-209)

Kenikmatan yang dijanjikan Tuhan telah pun kita ketahui, iaitu terletaknya hanya pada jalan menegakkan agama Islam yang dicintai. Ini kerana kita sedar bahawa Islam lah satu-satunya agama yang mengajar kita untuk menggapai kesempurnaan diri khususnya. Indahnya hidup apabila meletakkan diri dalam perjuangan agama, kerana keyakinan kita pada janji Allah bukan hanya setakat di dunia, tetapi pasti janji Allah itu pada kehidupan akhirat yang mendatang. Manusia cukup yakin akan kehidupan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Dan bagi kita orang yang beriman, Allah telah menyatakan akan balasan Nya di akhirat mendatang .

Mewaqafkan diri dalam perjuangan menegakan agama tercinta ini adalah sesuatu yang cukup payah.Kepayahan yang menuntut kepada besarnya pengorbanan. Tetapi kepayahan dan pengorbanan inilah yang akan memberi kita ketenangan hidup yang cukup maximum. Jiwa terasa damai, masalah yang tidak pernah lengang tidak sedikit pun meracuni diri, kerana iman kepada Allah itu yang sangat luar biasa. Percayalah, jika kita betul-betul yakin dengan beriman kepada Rasulullah yang kita terlalu sayangi dan kasihi, mengapa kita tidak menyusahkan diri sebagai mana Rasulullah menyusahkan diri dalam menyampaikan risalah Islam agar semua umatnya merasai keimanan kepada Allah S.W.T, agar semua umatnya kembali mengesakan Allah S.W.T. Keraguan-keraguan pada hal-hal dalam kehidupan tidak akan melunturkan sedikit pun keyakinan bagi insan yang berjuang. Percayalah Allah telah berfirman;

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncangkan (dengan berbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata" kapankah datang pertolongan Allah?" ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat" (Surah Al-Baqarah ayat:214)

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat ayat:15)

Berdoalah pada Allah agar dilapangkan dada dalam mencari ilmu agama, dan dapat menyampaikannya dengan cara yang paling baik. Alangkah sayangnya jika kita mempunyai kesedaran untuk kembali pada Allah tetapi tidak dapat membawa keluarga bersama-sama mencintai jalan perjuangan ni. Allah tidak pernah membebankan kita dengan apa-apa yang kita tidak mampu menanggungnya. Sungguh Allah Maha Penyayang pada hambanya dalam menjalani liku-liku kehidupan. Ingatlah kita tidak keseorangan dalam berjuang, kerana pasti bersama-sama kita keredhaan Allah dan sahabat-sahabat yang seiringan, kemenangan yang dijanjikan Allah bukan sekadar di dunia, tapi juga di akhirat menjadi impian setiap insan yang berjuang. Jadilah orang-orang yang sentiasa menambah baik akan taqwa dan iman kepada Tuhan. Kerana orang yang dekat hatinya pada Allah tiada keras hatinya, bersikap lemah lembut pada sekalian manusia dan juga makhluk, mempunyai sikap tawadu’ yang cukup tinggi, pergantungan dan harapannya disandarkan dengan sepenuhnya pada Tuhan, tiada pernah putus asa dan berduka cita apabila diuji dengan kegagalan dan dugaan hidup, suci hatinya daripada keterikatan dan kecintaan perkara dunia melebihi keterikatan untuk mencintai akan Allah dan Rasulnya. Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment