Friday, February 4, 2011

PERJUANGAN , TARBIYYAH DAN AIR MATA..


PERJUANGAN , TARBIYYAH DAN AIR MATA..

Menyingkapi sirah perjuangan rasul-rasul ‘alaihimussolatu wassalam terdahulu, banyak perkara telah mengajar kita untuk pandai berdikari dalam kehidupan sebenarnya. Berdikari ini bukanlah berdikari membawa maksud yang biasa, tapi sebenarnya berdikari untuk seorang manusia dalam memilih kehidupan yang lebih baik, lebih bermanfaat, lebih harmoni dan lebih bahagia. Kerana manusia itu sebenarnya telah diberi pilihan oleh Allah, sama ada untuk memiliki kehidupan perjuangan ataupun kehidupan yang biasa seperti kebanyakan manusia yang lain.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]

Pada kehidupan hari ini, ramai manusia menyangka kehidupan mereka telah mendapat kebahagian. Namun kebahagian itu hanyalah bersifat sementara. Kita pasti kebahagian yang kekal itu milik Allah S.W.T, dan yang akan mendapatkannya itu pastilah orang-orang yang sentiasa redha dalam meletakkan kehidupan mereka beserta perjuangan Islam.

Apakah sebenarnya yang akan diperolehi sekiranya meletakkan kehidupan dalam perjuangan agama? Adakah ianya satu kehidupan yang mengembirakan? Adakah ianya sesuatu yang mudah? Allah S.W.T itu Maha Berkuasa. Kenikmatan dan kebahagian dalam kehidupan adalah hak milik Allah. Orang yang berjuang dalam agama Allah itu sebenarnya adalah orang yang menempah kesusahan. Akan tetapi kesusahan itulah yang memberi kemanisan dan ketenangan. Ianya tidak akan dikecapi melainkan yang berada di dalamnya sahaja. Tarbiyyah dari Tuhan untuk hambaNya yang beriman.

Orang yang sanggup menyusahkan kehidupannya kerana ingin melihat kemenangan itu milik Islam, adakah ianya cuai dalam membina kehidupan? Demi Allah, Tuhan pencipta sekalian alam. Alam dunia yang fana’ ini hanyalah sementara. Penipuan dengan kesenangan dunia yang sementara itu adalah ujian untuk hambaNya yang beriman. Dan kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan ketenangan itu hanyalah milik Allah. Kehidupan ini ibarat perjuangan yang kemenangannya itu pasti diperolehi. Ketenangan jiwa akan dirasai apabila diberi anugerah oleh Allah S.W.T keberkatan dalam kehidupan.

Apabila dijadikan kehidupan ini satu perjuangan, kita akan melihat hidup ini bukanlah sesuatu yang mudah dan pastinya kesukaran itu adalah perkara biasa. Beban yang ditanggung sehingga tiada deria yang dirasakan. Air mata mengalir tanda pasra, kerana inilah jalan yang menjadi pilihan kerana pasti pada penghujungnya rahmat dan keampunan Tuhan Dihujungnya kemanisan dan tiada kemanisan yang dapat dirasai melainkan dicapainya dengan kepayahan dan ujian.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Berangkatlah kalian beramai-ramai (untuk berjuang di jalan Allah), samada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) mahupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian di jalan Allah (untuk membela Islam). Itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.( surah al Taubah ayat 41)