Tuesday, December 29, 2009
Mencari bahagia dan ketenangan
Kedamaiaan jiwa dan hati...
Bismillahirahmanirrahim.. segala puji bagi Allah , Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga baginda, seluruh para pengikut baginda yang terus bejuang dalam menegakkan kalimah tauhid, sahabat seperjuangan walau di mana berada, moga kasih dan rahmat Allah sentiasa berpanjangan bersama kita.
Pasti di antara kita merindukan hati yang sentiasa tenang dan jiwa memiliki kebahagian. Sebagai insan yang bergelar da’ie, persoalan dimanakah letaknya kebahagiaan dan ketenangan itu mestilah di cari pada tempat yang sepatutnya , bukan pada letaknya penglihatan dunia, tetapi jauh letaknya, hanya pada mata hati yang sentiasa merindui akan kehidupan akhirat yang abadi. Fikir dan perhatikanlah pada masalah-masalah yang timbul pada kita dengan hati yang penuh taqarrub pada Allah,insyaAllah pasti dibukakan pintu kebaikan oleh-Nya bagi mendapatkan ketenangan hati yang tiada terhingga. Percayalah, andai diberi pilihan untuk memiliki kemewahan dan kebahagiaan dengan harta atau pandangan dunia semata-mata, bahagianya hanyalah sementara.
Fitrah dijadikan Allah pada manusia yang penciptaannya sempurna, kebahagiaannya hanyalah kerinduan pada redha Allah semata-mata, kerana kebahagian pada harta dunia bukanlah kebahagiaan yang kekal, bahkan boleh mendatangkan bencana dan malapetaka. Sebab itulah diperingatkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud;
Harta-benda dan anak-anak mereka(kaum munafiq) janganlah engkau mengkagumi mereka, kerana Allah hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan akan hilang nyawanya ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.
(surah Al-Taubah: ayat 55).
Dalam satu demensi ‘alam’ yang mana manusia pada hari ini bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan, dan sesungguhnya telah mencapai kemenangan dengan senjata ilmu pengetahuan. Akan tetapi dalam perjuangan melawan nafsunya sendiri, belum lagi mengarah kepada kemenangan, sedang senjata ilmu pengetahuan tidak dapat menolongnya. Disinilah mula kelihatan terpancarnya sinar fitrah yang di jadikan oleh Allah kepada manusia bahawa diakui agamalah yang dapat dijadikan teman dalam perjuangan melawan hawa nafsu. Maha Suci Allah yang menjadikan manusia itu dalam keadaan yang begitu sempurna.
Dimanakah letaknya kebahagiaan itu wahai para da’ie? Kebahagian itu sebenarnya terletak dalam diri manusia itu sendiri. Kebahagian manusia adalah dirasai dalam batinnya sendiri, bukan didatangkan dari luar. Jiwa yang bersih, hati yang tenteram, fikiran yang lapang dan perasaan yang tenang hakikatnya tumbuh dan bersemi dalam diri manusia itu sendiri, bukannya dari luar. Itulah hakikat iman, yang taqwa seseorang mukmin itu,penyerahan dirinya kepada Yang Maha Esa, cintanya yang tiada terhingga, pada zahirnya amal dan ibadah yang tiada putus-putus, mencari kesenangan dunia bagi kesempurnaan kehidupan akhirat, hanyalah pada redha Allah semata-mata. Maha Susi Allah yang sentiasa membawa manusia itu kejalan kebaikan.
Orang yang tiada beriman itu tidak mengetahui rahsia hidup, dari mana? Di mana kemana sesudah hidup yang fana ini? Di umpamakan bagai orang yang berjalan di padang tandus, tiada arah tujuan yang dilihatnya hanyalah cahaya panas(fatomorgana), dikiranya air yang tergenang, sesampainya ia hanyalah tipuan panas mentari. Hidup dalam kesedihan yang trlalu jauh daripada sinar iman, hanya kegelapan hati yang menjadi teman. Gambaran yang serupa disebut dalam Al-Quran, firman Allah yang bermaksud;
Atau keadaan mereka bagai kegelapan di lautan yang dalam, dikepung gelombang demi gelombang, di atasnya awan gelap, dan kegelapan itu tindih-bertidih. Apabila dikeluarkannya tangannya hampir tidak kelihatan. Siapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah tiadalah akan mempunyai cahaya.
(surah Al-Nur: ayat40)
Orang beriman itu tahu kemana tujuan perjalanannya dan bagaimana kesudahannya, kerana mereka mengetahui dan yakin akan keterangan Allah yanga bermaksud;
Sesungguhnya orang-orang yang baik itu berada dalam kesenangan. Dan sesungguhnya orang-orang yang jahat berada dalam neraka. Mereka akan masuk ke dalamnya di hari pembalasan.
(surah Al-Infithar: ayat 13-15)
Tuhan mengajarkan bahawa kebahagiaan di dunia yang disebut “kehidupan yang baik” hanyalah akan diperoleh dengan keimanan dan perbuatan yang baik. Firman Allah yang bermaksud;
Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik….
(surah Al-Nahl: ayat 97)
Dan sampaikanlah berita gembira, kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih(perbuatan baik), bahawa mereka akan memperoleh taman syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….
(surah Al-Baqarah: ayat 25)
Mudah untuk kita sama-sama fahami, kebahagian dan ketenangan hati atau jiwa itu adalah anugerah yang tiada terhingga bagi hamba Nya yang beriman.Sentiasalah mengharapkan belas kasihan dari Tuhan Yang Maha pengasih serta tidak putus-putus memohon bagi mendapatkan rahmat Allah seterusnya mendapat ketabahan dalam perjalanan hidup yang masih kabur akan keampunan dari dosa-dosa yang telah lalu. Sama-samalah kita dalam perjalanan yang singkat ini mencari dan mendapatkan taqwa yang sempurna akan hakikat kehidupan yang abadi agar terbuka hijab pada pandangan yang fana’ kepada pandangan mata hati yang sentiasa hidup untuk menggapai redha Ilahi..semoga terhebat dalam perjuangan islam. wallahua’lam.
(sumber rujukan karangan Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Al-Iman Walhayah)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment