Monday, July 1, 2013

Secebis rasa buat sahabat yang kukasihi kerana Allah..

Assalamua’alaikum Warahmatullah..
Sahabat, Allah telah menitipkan rasa kasih sepanjang perjalanan ini, mengenalmu dikala aku memerlukan bimbingan seseorang yang bergelar sahabat..

Disuatu masa itu, kita dicemburui waktu yang kian melaju, mengusia dan mendewasakan kita, sehingga kapan perasan ingin bersamamu menimba pengalaman hidup kian terbatas..

Andai hari ini Allah melapangkan masa untuk kita bersama, inginku berlari mendekatimu, bersamamu mengulangi pengalaman hidup yang akan mendewasakan kita buat kesekian kalinya..namun waktu itu bukan milik kita lagi..

Sahabat, perjalanan hidup ini ku langsungkan ianya sebagai sebuah perjuangan, berkorban dan bersusah pada awalnya, merasai kenikmatan dan mensyukuri diakhirnya..

Sahabat, semalam yang berlalu tidak akan kunjung tiba lagi..hatiku sayu untuk berdampingan denganmu lagi. Bukanku ingin menoleh kebelakang, tapi ku ingin menghargai kesetiaanmu bersamaku menimba ilmu bersama, mengerti akan kehidupan bersama, menyakini adanya rahmat Allah yang sentiasa menanti bersama..kemanisan itu akan ku telan, kudasarkan dalam lubuk sanubari..seindah ingatan bersama..

Sahabat, hari ini saat gentir untuk mendewasakan kita lagi, dan saat ini juga aku belum tentu mampu untuk bersamamu lagi..persaudaraan yang kuinginkan darimu sahabat, agar ianya terjalin sehingga kita dihidupkan semula diakhirat Allah..dan disana nanti ku ingin sekali melihat anugerah syurga Ilahi itu milik kita bersama..
Sahabat, andai dirimu menyimpan perasanan benci terhadapku diatas kesilapan lalu, kuingin memohon sejuta kemaafan darimu..biarpun ianya berulangkali, aku tetap mengasihimu wahai sahabat..

Sahabat yang kukasihi.. Islam, Iman & Ehsan yang di anugerahkan Allah ke dalam diri ini perlu dibaja dan perlu dibuahkan agar ianya dilindungi dari musuh yang sentiasa ingin merakusnya. Pesan untuk diriku dan buat dirimu sahabat, jagalah ianya dan janganlah membiarkan ianya tidak bernilai..pilihan adalah ditangan kita wahai sahabat..

Titipan ini ingin sekali ku ungkapkan bersama kalian andai masih ada ruang dan waktu untuk kita bersua lagi..moga ukhuwah yang terbina ini mendapat keredhaan daripada Allah..

Kapan lagi untuk ku ketemumu, bersamamu sahabat yang kukasihi kerana Allah..


Muhammad Hanafi Bin Roshan.

Wednesday, December 19, 2012

Baruku tahu bagaimana rasanya LAPAR

Barangkali kita tidak pernah merasa bagaimana rasanya lapar. Lapar kita di negara ini masih lagi boleh meminjam sesama rakan atau keluarga. Bagaimanakah keadaan mereka ketika lapar, bagi mereka yang langsung tiada tempat bergantung? Allah sahajalah yang Maha Memahami akan nasib mereka.

Bagi yang pernah merasa lapar, tidak makan 2 hari, 3 hari, seminggu, akan merasai bahawa itulah saat yang cukup mencabar minda dan jiwa dalam menghadapinya. Apakah erti lapar kalau kita tidak pernah untuk merasa sabar dan tidak pernah memikirkan ada lagi manusia yang lainnya lebih sukar daripada kita. Adakah lapar kita membawa semakin bertambahnya amal ibadah dan iman kita? Percayalah wahai saudaraku, sedikit ujian ini tidak sama seperti penderitaan yang dilalui saudara kita di bumi Palestin, Syiria dan bumi Islam yang lainnya.

Kelaparan kita hari ini mungkin kerana kebuntuan dalam mencari rezeki ataupun kesusahan hidup. Pernahkah kita terfikir bagaimana rasa lapar orang-orang yang mereka ini sentiasa berjuang dijalan Allah?
Tentulah pada fikiran ini tidak akan sama dan nilainya adalah lebih besar daripada yang lainnya.

Peristiwa Rasulullah mengikat batu diperut baginda.
Pada suatu ketika Rasulullah menjadi imam solat. Dilihat oleh sahabat, pergerakan Baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup, seolah-olah sendi tubuh Baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Saidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan Baginda. Selepas selesai bersembahyang Umar
bertanya: "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar," balas Baginda.

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan pada tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililit sehelai kain berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu kecil itu yang menimbulkan bunyi halus setiap kali Baginda bergerak.

"Ya Rasulullah! Adakah apabila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" tanya Umar.

Lalu, Baginda menjawab dengan lembut: "Tidak sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak."


Biarlah sedikit rasa lapar yang kita pernah lalui ini menambahkan kesedaran kita betapa beratnya dugaan dan ujian yang mereka tempuhi apabila mereka dizalimi. Walaupun demikian, hakikat iman mereka lebih mahal daripada kita yang mungkin sebilangan kita orang yang senang kehidupannya. Tidak salah menjadi orang yang senang, kerana apabila seseorang yang beriman kepada Allah itu memilikinya, nescaya akan dibahaginya untuk saudaranya, supaya yang lainnya turut merasai

Kebelakangan ini, dunia Islam semakin dicabar akan keutuhannya apabila musuh dari dalam dan luar semakin memberanikan diri menunjukan kekuatan & kezaliman mereka sehinggakan Islam itu dijadikan tempat memuaskan amarah mereka. Mungkin kerana kebencian yang membuak-buak mereka terhadap ummat ini semakin hari semakin bergelora.

Percayalah wahai saudaraku seagama, walau kita tidak dapat membantu saudara kita dengan jiwa kita, hulurkanlah bantuan dengan apa cara sekalipun. Moga iman kita jua dinilai oleh Allah sama seperti mereka yang berjuang untuk mempertahankan Islam sebagaimana meraka.

Ingatlah wahai saudaraku, walau apa jua bantuan yang telah kita hulurkan kepada saudara kita yang dizalimi, belum cukup untuk kita mengambil peluang berdiam diri. Kesusahan mereka, adalah kesusah kita jua, dan lapar mereka sepatutunya menjadi lapar kita jua.

Moga kesusahan mereka, kelaparan mereka ditebus dengan syurga yang paling tinggi kedudukanya pada hari akhirat kelak, insyaAllah.

Thursday, December 29, 2011

Bagaimana rasa bersyukur, jika tidak didatangkan kepayahan sebelumnya.....


Rasa bersyukur..

Kehidupan hari ini akan memberi kemanisan jika ada manusia yang bersyukur. Kerana syukur akan lahir apabila manusia itu merasakan setiap apa yang dapat dilaksanakan olehnya bukan dari usahanya semata-mata. Begitu juga syukur kepada orang yang sentiasa memberi bantuan pada nya, agar ianya mengingatkan akan Allah yang senantiasa memberi nikmat kepada nya..

Dalam tidak sedar, orang yang tidak bersyukur sebenarnya orang yang lupa akan Tuhannya dan lupa kepada nikmat yang telah dikecapi. Istilahnya sama, seperti anak tidak mengenag budi orang tuanya, anak murid yang tidak mengenang jasa gurunya, pekerja yang tidak berterima kasih kepada majikannya. Apabila berada di posisi ini, maka lahirlah dikalangan kita manusia yang diistilahkan biadap, tidak hormat, tak kenang budi, derhaka dan sebagainya..

Akan tetapi istilah ini sebenarnya lebih teruk dan lebih tercela apabila manusia itu sendiri tidak cuba mengenang akan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Ianya simple, tetapi ini lah yang telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya..

" Katakanlah Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Katakanlah: Dia-lah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan hanya kepada-Nya-lah kamu kelak dikumpulkan."

Orang yang sentiasa bersyukur akan sentiasa terdedah kepada pertolongan Allah. Orang yang sentiasa bersyukur akan akan merasai tenangnya jiwa dan orang yang bersyukur akan merasakan dirinya sentiasa dihargai. Daripada itu, dirinya akan jauh daripada perasaan kecewa, lemah semangat, dan jiwanya akan sentiasa terbuka untuk menghadapi segala sesuatu..

Ada benarnya, Syukur itu akan lahir daripada adanya sabar, adanya pengorbanan, adanya penghayatan. Bagi manusia yang dirinya berada dalam perjuangan agama, akan dirasainya anugerah itu..bukan senang untuk dirasai, tapi bukanlah sesuatu yang payah untuk mendapatkan nya...

Hari ini, belajarlah untuk berubah, dulunya jarang-jarang bersyukur, biarlah hari ini sedetik usia kita sentiasa adanya rasa syukur. Dulunya tidak sabar, hari ini belajarlah untuk sentiasa sabar, sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan dalam kehidupan.. yakin pada Allah, Allah sentiasa menyayangi kita, cuma tinggal hanyalah diri kita, adakah kita menyayangi diri sendiri dan benar-benar menyayangi Allah dan Rasulnya....

waAllahua'lam

Sunday, October 9, 2011

Tiada ketenangan..jika hati sentiasa berdosa pada Tuhan..


Tiada ketenangan..jika hati sentiasa berdosa pada Tuhan..

Orang yang ramai selalu berkata "solat x elok camna nk elak dosa,nak hati tenang jauh sekali".. dan kita juga biasa dengar " Seorang mukmin sejati tidak akan cuai dalam melaksanakan solat fardu termasuk jaga waktu,tertib solat dan banyakan ibadat sunat"..

"Bercakap pasal solat, kita tahu bahawasanya solat itulah ibadah yang paling baik untuk dekatkan diri dengan Tuhan..bagi yang ada masalah hati, ubatnya mgkin ada disini.. Try dulu tengok camna reaksi selepas kita betul2 nekad untuk jaga waktu ibadah kita pada Allah S.W.T..

Tapi pernah ada yang bagitau "saya dah cuba untuk jaga solat, tp xbleh khusuk gak".. yang lain ade jgk kate cmni " solat khusuk dah rasenye, tapi xbleh nk elak jgak dri buat dosa, cmna ekk"..ade jugak yang cmni.. apa-apa pun ,masalah ini timbul dari hati kita sebenarnya.. hati kadang2 nak jadi baik, kadang kadang nak jadi jahat pun ade gak, macam2 cite zaman sekarang, lebih2 lagi maksiat depan mata terlalu banyak lani..

Orang yang ada fitrah dalam dirinya untuk kembali pada Tuhan, perlulah sbar untuk menghadapi ujian ini.. hati nak tenang bukan susah pn sebenarnya, cuma nak dapatkan tenang tu, kene bekerja keras skitlah..same lah, nak kan benda berharga, mesti effort kena lebih skit.

Dalam kata lain tenang ini insyaAllah akan dpat klau kita betul jga hubungan kita dengan Allah, jaga ibadah, hindari maksiat, jadi org baik, buat baik dengan org lain, hormat mak ayah @ org tua, ceria, pemaaf, jaga aurat, jaga makan, elak dari makan benda yg shubhah dan banyak lagi benda2 yang baik2 yg Islam telah anjurkan pada kita untuk buat & sunnah Rasulullah s.a.w mesti jaga dan cuba untuk buat..

Tapi yang malangnya ada jgk yang kata cmni" ah, aku xkesah pun hati tenang atau x, yg penting hati puas".. puas cmana ek?? pernah ada hamba Allah tu cuba tegur kat kawan kita ni " weh, kau ni bila nak brubah, solat xjaga, kadang2 xsolat langsung, buat benda xelok bnyak jugak kau ni, kau xrasa ada something ke dlm hidup kau?? nak anak2 kau jadi mcm kau??" agak2 sahabt laa, tenang ke kehidupan camni??

Apa2 pun hal ini adalah tentang diri kita, nak hati tenang ke, xnak ke, nak buat dosa ke, xnak solat ke, ape ke.., semua kita.. saya cuba nak sampaikan kat sini, igatlah kita manusia biasa, saya pasti dan yakin, kehidupan yang jauh dari acuan agama ini, confirm 100% xkan dapat ketenangan hati..kenali lah yang halal , yg haram yg Allah larang, dan perkara yg bleh kita buat & kene tinggalkan dalam kehidupan seharian kita..

Percayalah, hati yang tenang itu akan hadir bila kita menjadi hamba kepada Allah S.W.T secara total..bagi yang ada kuarga, kuarga bahagia, bagi yg jadi anak, insyallah anak yg soleh, ibu bapa plak, ibu bapa yg baik & taat perintah agama, anak pun xakan ada something dalam hidup, dengar cakap mak ayah & sebagainya.. jadikanlah agama Islam itu cara hidup agar semua perkara yng kita lalui seharian ini, akan ada kemanisan, dapat rasa hati tenang yg tiada tandingan. masalah yang hadir pun rase mcm xde masalah pun sbenarnya...punye seronok apabila dapat hati yng tenang ni kawan2..

Lastly, peace for ourlife style if you want to change to Islam is the way of Life.. Jangan berputus asa untuk mencari ketenangan hati dalam kehidupan..insyaAllah pasti anda akan temuinya.. dengan cara kembalilah kepada cara hidup Islam yg sebenar.. moga2 kita terpilih untuk dianugerahkan ketenangan hati dalam kehidupan, insyallah, amin..Waallahu a'lam.

Tuesday, July 26, 2011

Ahlan Ya Ramadhan..Kehadiranmu dirindui...

Ramadhan datang lagi bersama jutaan hikmah dan fadhilah. Ramadhan hadir dalam suasana yang begitu mendamaikan bagi setiap ummah. Kata orang, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi, ketiadaannya dirindui. Begitu hebatnya Ramadhan. Menyejukkan hati dan membuka taubat buat semua insan. Mendekatkan diri pada Tuhan dengan penuh keikhlasan.

Sepanjang berpuasa sebulan Ramadhan yang lalu, sebaik mungkin bekalan telah kita kutip untuk kita harungi setahun sebelum datangnya lagi Ramadhan kali ini, apakah masih lebat rimbunan Pohon Taqwa kita? Apakan masih bisa orang ramai berteduh mengambil manafaat darinya, atau sudah habis keguguran dedaunan hijau dek kurangnya siraman amal dan bajaan ibadat kita selama setahun ini?

Apakah masih berbuah pohon taqwa kita tadi sehingga dapat berbakti kepada makhluk Allah yang lainnya, atau usahkan berbuah sebiji dua lagi, tapi berputik bunga pun tidak dek kelalaian kita menyuburkannya dengan akhlak yang mulia berserta iman yang mantap sepanjang tahun selepas Ramadhan yang lalu? Tiada siapa yang dapat menjawabnya, selain diri kita sendiri…Perhatikan lah ‘Pohon Taqwa’ kita masing-masing.

‘Pohon Taqwa’ kita tidak lain dan tidak bukan adalah amalan seharian kita, amal ibadat seharian kita serta tingkah laku pada akhlak kita selama ini. Sejauh mana kita menjaga halal dan haram ketetapan Allah, sejauh mana kita berhati-hati dalam menangani setiap syubhah dalam hidup kita, itulah taqwa. Hanyutkah kita dengan dunia yang fana ini, atau masih kuat berpaut pada realiti akhirat yang menjadi destinasi setiap diri?

Kehidupan seorang mahasiswa Islam seharusnya memahami akan hakikat taqwa yang akan dibina selepas melalui madrasah yang sangat besar ini. Bulan tarbiyah yang dikurniakan Allah pada kita kali ini seharusnya diambil sebagai sesuatu yang luar biasa harganya, dan keampunan serta rahmat didalamnya di idam-idamkan setiap jiwa diantara kita. Lahirkanlah rasa di dalam diri kita bahawasanya ini adalah sesuatu yang cukup mahal harganya dan segala isi dunia tidak ternilai untuk membelinya.

Maka bersyukurlah, dan mohonlah pada Allah semoga masih dipanjang lagi umur kita agar bertemu dengan Ramadhan Karim, kerana Ramadhan adalah madrasah tarbiyah yang mendidik kita ke arah taqwa. Moga mendapat kesejahteraan yang berpanjangan dari sisi-Nya..amin..

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan…


Friday, February 4, 2011

PERJUANGAN , TARBIYYAH DAN AIR MATA..


PERJUANGAN , TARBIYYAH DAN AIR MATA..

Menyingkapi sirah perjuangan rasul-rasul ‘alaihimussolatu wassalam terdahulu, banyak perkara telah mengajar kita untuk pandai berdikari dalam kehidupan sebenarnya. Berdikari ini bukanlah berdikari membawa maksud yang biasa, tapi sebenarnya berdikari untuk seorang manusia dalam memilih kehidupan yang lebih baik, lebih bermanfaat, lebih harmoni dan lebih bahagia. Kerana manusia itu sebenarnya telah diberi pilihan oleh Allah, sama ada untuk memiliki kehidupan perjuangan ataupun kehidupan yang biasa seperti kebanyakan manusia yang lain.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]

Pada kehidupan hari ini, ramai manusia menyangka kehidupan mereka telah mendapat kebahagian. Namun kebahagian itu hanyalah bersifat sementara. Kita pasti kebahagian yang kekal itu milik Allah S.W.T, dan yang akan mendapatkannya itu pastilah orang-orang yang sentiasa redha dalam meletakkan kehidupan mereka beserta perjuangan Islam.

Apakah sebenarnya yang akan diperolehi sekiranya meletakkan kehidupan dalam perjuangan agama? Adakah ianya satu kehidupan yang mengembirakan? Adakah ianya sesuatu yang mudah? Allah S.W.T itu Maha Berkuasa. Kenikmatan dan kebahagian dalam kehidupan adalah hak milik Allah. Orang yang berjuang dalam agama Allah itu sebenarnya adalah orang yang menempah kesusahan. Akan tetapi kesusahan itulah yang memberi kemanisan dan ketenangan. Ianya tidak akan dikecapi melainkan yang berada di dalamnya sahaja. Tarbiyyah dari Tuhan untuk hambaNya yang beriman.

Orang yang sanggup menyusahkan kehidupannya kerana ingin melihat kemenangan itu milik Islam, adakah ianya cuai dalam membina kehidupan? Demi Allah, Tuhan pencipta sekalian alam. Alam dunia yang fana’ ini hanyalah sementara. Penipuan dengan kesenangan dunia yang sementara itu adalah ujian untuk hambaNya yang beriman. Dan kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan ketenangan itu hanyalah milik Allah. Kehidupan ini ibarat perjuangan yang kemenangannya itu pasti diperolehi. Ketenangan jiwa akan dirasai apabila diberi anugerah oleh Allah S.W.T keberkatan dalam kehidupan.

Apabila dijadikan kehidupan ini satu perjuangan, kita akan melihat hidup ini bukanlah sesuatu yang mudah dan pastinya kesukaran itu adalah perkara biasa. Beban yang ditanggung sehingga tiada deria yang dirasakan. Air mata mengalir tanda pasra, kerana inilah jalan yang menjadi pilihan kerana pasti pada penghujungnya rahmat dan keampunan Tuhan Dihujungnya kemanisan dan tiada kemanisan yang dapat dirasai melainkan dicapainya dengan kepayahan dan ujian.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Berangkatlah kalian beramai-ramai (untuk berjuang di jalan Allah), samada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) mahupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian di jalan Allah (untuk membela Islam). Itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.( surah al Taubah ayat 41)


Monday, August 16, 2010

Ya Ramadhan..Tuhan masih lagi memberi peluang untuk bertemu mu..


Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum Warahmatullah..

Syukur pada Allah, Tuhan sekalian 'alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahu 'alihi Wasallam, tidak lupa kepada pejuang-pejuang agama Allah yang masih hidup atau yang telah pergi menemu iIlahi.

Ramadhan datang lagi. Dalam detik hari-hari yang berlalu dengan begitu pantas, berjumpa lagi kami dengan mu ya Ramadhan, dengan izin Allah. Moga kali ini lebih baik dari sebelumnya, amin Ya Rabb. Pada permulaan Ramadhan ini, mungkin ramai saudara-saudara seagama sibuk dengan pengisian demi pengisian sebagai makanan rohani ini. Moga Allah Mencurahkan rahmat-Nya ke atas diri kita bersama.

Jadikanlah dalam diri ini sesuci-sucinya bagi menggapai rahmat,redha dan keampunan daripada Allah. Sesungguhnya telah hilang dalam hati-hati manusia itu untuk menghayati Ramadhan kecuali bagi hamba-hamba yang mengetahui akan kelebihannya dan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam.

“Sekiranya umatku mengetahui kebaikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka menginginkan agar sepanjang tahun semuanya menjadi Ramadhan.”

Mungkin lebih sukar perjalanan kali ini bagi sahabat-sahabat seperjuangan dalam menempuhi medan masing-masing. Moga Allah tabahkan hati kalian dalam perjuangan Agama ini. Perjuangan ini bukanlah sesuatu yang indah dan senang dalam melaluinya. Akan tetapi perjuangan ini kita sanggup susah kerananya dan kita sanggup bebankan diri kerananya hanyalah sebagai tanda kita amat mencintai akan Allah dan Rasul-Nya dan menyayangi akan agama Islam ini.

Besarlah pahala bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersabar dan berjuang di jalan-Nya. Berbuat baiklah sesama manusia walau siapapun mereka dalam menyampaikan risalah Islam. Moga Islam itu dapat dihayati dan dijulang tinggi, walau dituntut seribu pengorbanan dan kesusahan. Moga keampunan Allah sentiasa bersama kita. Amin.

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan keatas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”

...SALAM RAMADHAN...