Wednesday, December 19, 2012

Baruku tahu bagaimana rasanya LAPAR

Barangkali kita tidak pernah merasa bagaimana rasanya lapar. Lapar kita di negara ini masih lagi boleh meminjam sesama rakan atau keluarga. Bagaimanakah keadaan mereka ketika lapar, bagi mereka yang langsung tiada tempat bergantung? Allah sahajalah yang Maha Memahami akan nasib mereka.

Bagi yang pernah merasa lapar, tidak makan 2 hari, 3 hari, seminggu, akan merasai bahawa itulah saat yang cukup mencabar minda dan jiwa dalam menghadapinya. Apakah erti lapar kalau kita tidak pernah untuk merasa sabar dan tidak pernah memikirkan ada lagi manusia yang lainnya lebih sukar daripada kita. Adakah lapar kita membawa semakin bertambahnya amal ibadah dan iman kita? Percayalah wahai saudaraku, sedikit ujian ini tidak sama seperti penderitaan yang dilalui saudara kita di bumi Palestin, Syiria dan bumi Islam yang lainnya.

Kelaparan kita hari ini mungkin kerana kebuntuan dalam mencari rezeki ataupun kesusahan hidup. Pernahkah kita terfikir bagaimana rasa lapar orang-orang yang mereka ini sentiasa berjuang dijalan Allah?
Tentulah pada fikiran ini tidak akan sama dan nilainya adalah lebih besar daripada yang lainnya.

Peristiwa Rasulullah mengikat batu diperut baginda.
Pada suatu ketika Rasulullah menjadi imam solat. Dilihat oleh sahabat, pergerakan Baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup, seolah-olah sendi tubuh Baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Saidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan Baginda. Selepas selesai bersembahyang Umar
bertanya: "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar," balas Baginda.

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan pada tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililit sehelai kain berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu kecil itu yang menimbulkan bunyi halus setiap kali Baginda bergerak.

"Ya Rasulullah! Adakah apabila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" tanya Umar.

Lalu, Baginda menjawab dengan lembut: "Tidak sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak."


Biarlah sedikit rasa lapar yang kita pernah lalui ini menambahkan kesedaran kita betapa beratnya dugaan dan ujian yang mereka tempuhi apabila mereka dizalimi. Walaupun demikian, hakikat iman mereka lebih mahal daripada kita yang mungkin sebilangan kita orang yang senang kehidupannya. Tidak salah menjadi orang yang senang, kerana apabila seseorang yang beriman kepada Allah itu memilikinya, nescaya akan dibahaginya untuk saudaranya, supaya yang lainnya turut merasai

Kebelakangan ini, dunia Islam semakin dicabar akan keutuhannya apabila musuh dari dalam dan luar semakin memberanikan diri menunjukan kekuatan & kezaliman mereka sehinggakan Islam itu dijadikan tempat memuaskan amarah mereka. Mungkin kerana kebencian yang membuak-buak mereka terhadap ummat ini semakin hari semakin bergelora.

Percayalah wahai saudaraku seagama, walau kita tidak dapat membantu saudara kita dengan jiwa kita, hulurkanlah bantuan dengan apa cara sekalipun. Moga iman kita jua dinilai oleh Allah sama seperti mereka yang berjuang untuk mempertahankan Islam sebagaimana meraka.

Ingatlah wahai saudaraku, walau apa jua bantuan yang telah kita hulurkan kepada saudara kita yang dizalimi, belum cukup untuk kita mengambil peluang berdiam diri. Kesusahan mereka, adalah kesusah kita jua, dan lapar mereka sepatutunya menjadi lapar kita jua.

Moga kesusahan mereka, kelaparan mereka ditebus dengan syurga yang paling tinggi kedudukanya pada hari akhirat kelak, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment