Monday, April 5, 2010

Cahaya kehidupan


Bismillahirrahmanirrahim..
Hari-hari yang penuh berliku, dilalui setiap insan beriman dengan bekalan-bekalan amal yang tiada pernah jemu memohon rahmat dan belas kasihan dari Tuhannya. Setiap sudut dan setiap detik pergerakannya, tiada pernah lalai akan dirinya dari lirikan mengingati Tuhan, lidah tiada putus memuji kebesaran Tuhan, masa lapangnya cuba diisi dengan alunan al-Quran, membuatkan jiwanya terasa tenang, hatinya damai, fikirannya lapang. Bukan kerana tiada ujian yang ditimpakan padanya, dan bukan juga kesenangan hidup yang dimilikinya. Kehidupannya hanya seperti insan biasa, ada masa dihadapinya ujian itu dengan titisan air mata, seolah tiada sanggup lagi membebankan diri menghadapinya, kadang leka dibuai keasyikan mimpi, kesenangan pandangan pada indahnya dunia yang melalaikan dan penuh tipudaya, seolah tiada kematian dihadapannya. Gembiranya hidup dengan kesenangan yang ada dihadapan mata, keasyikan dilamun cinta dunia.

Menjadi insan soleh disisi Tuhan didambakan setiap insan beriman. Walau dibadai gelora akan imannya, dihina akan kehidupannya, diuji walau sepahit manapun ujian, hatinya masih terpaut untuk menyembah syukur pada Tuhan, kerana keyakinan yang pasti pada hatinya, itulah kehidupan sebenar untuk menuju kebahagian, tiada difikirnya kebahagiaan sementara, dihadapkan pada hatinya untuk dicari hanyalah yang kekal abadi. Doa penguat dirinya tika tiada siapapun disisi. Dipohon kepada Tuhan agar dibesarkan imannya untuk menghadapi ujian dan rintangan yang penuh noda. Yang pasti, selangkah dirinya mendekati Tuhan, sudah pasti Tuhan menghampirinya beribu-ribu langkah.

Tika titis air mata segar mengalir kerana mengingati perihal dosa-dosa terdahulu, hatinya terbuku sayu, apakah belas kasihan Tuhan akan melindungi dirinya dari azab dan siksa neraka Tuhan, apakah amalan-amalannya yang sentiasa dibelenggu ujub diterima Tuhan, kusutnya pikiran tiada tergambar untuk diluahkan, keresahan-keresahan bermain-main di benak fikiran, buntu jalan dihadapannya. Cinta yang didambakan adakah ia menjadi permainan antara nafsu dan syaitan, menjadi persoalan yang tiada berkesudahan.

Al-Quran pernah menyebut bahawa manusia itu adalah dekat dengan Tuhannya. Tiada batas pengataraan yang menjadi halangan bagi hamba dengan Tuhannya. Kemuliaan yang telah diberikan Tuhan untuk hambanya, Maha Pengasih dan Penyayang Allah pada hamba-hambanya. Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (surah Al-Baqarah: 186)

Sungguh, pintu rahmat Tuhan sentiasa terbuka luas kepada hambanya, dan orang yang beriman itu selalu berbisik dengan Tuhannya setiap waktu, dengan mengerjakan sembahyang dan berdoa kepada Ilahi. Walau diuji, hatinya mendapat ketenangan yang tiada disangka-sangka datangnya ia, benarlah firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu[99], Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (ada pula yang mengartikan: Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Berdoa dan mengadulah pada Allah, kerana hanya pada Allah letaknya ketenangan hati.) (surah Al-Baqarah: 153)

Doa Rasulullah kepada Allah yang menjadikan hati baginda tenteram dan tenang, sekembalinya baginda dari Taif dengan keadaan kedua kakinya luka berdarah, serta hati yang amat kecewa:
“Ya Allah! Aku mengadukan kepada Engkau kelemahan kekuatanku dan kekurangan tipudayaku, serta kelemahanku menghadapi orang ramai. Ya Allah yang Maha Penyayang! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkau adalah Tuhanku.

Jangan menjadikan suatu kelemahan dalam diri menangisi semalam yang telah pergi, kerana orang yang beriman kuat keyakinannya terhadap Tuhan, percaya akan qada’ dan qadar Tuhan, tiadalah mahu menyerahkan dirinya menjadi mangsa peristiwa yang telah lalu, bahkan dia menyakini, bahawa sesuatu yang telah ditentukan Allah mesti berlaku, diterimanya dengan hati yang penuh redha. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

Allah telah mentaqdirkan, dan apa yang dikehendakiNya diperbuatNya, kerana mengucapkan ‘kalau…..’ hanya membukakan kerja syaitan.” (diriwayatkan oleh Muslim)

Orang yang beriman tidak akan terumbang-ambing antara “kalau” dan “seandainya” kerana ia akan melahirkan rasa kekecewaan dan keluh kesah yang menyebabkan hilangnya ketenangan hati, membuatkan rasa penyesalan kepada perkara yang telah lalu dan benci kepada yang sedang dihadapinya. Hidupnya dibelenggu kepahitan cubaan yang diulang-ulang mengingatinya, kesedihan yang melanda seolah-olah racun berbisa yang tiada penawar baginya.

Ya Allah, jauhkanlah kami dari kegelapan hati yang penuh noda dan domba, hati yang tiada khusuk dalam ibadah kepadaMu, hati yang tiada tenang dalam mencari jalan pulang. Selamatkanlah kami dari kebencianMu ya Tuhan, dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa dinaungi rahmat dan kasih sayangMu, agar nur kehidupan meresap kedalam batin dan jiwa kami, ditunjukkan kami jalan redhamu, agar kami bersama-sama para anbia’ , para syuhada’, para solehin dalam perjalanan di mahsyarmu kelak, diberi kebaikan dan diberi anugerah syurgaMu yang tiada terlintas akan istimewa ianya tercipta hanyalah dijadikan untuk hamba yang Engkau redhai. Wassalam..

1 comment:

  1. Dalam menangkis gelero iman di waktu muda, mudah2an allah memberi kekuatan jasadiyyah serta ruhaniyyah padamu akhi..makin hari makin mantap serta bermanfaat,[USAH jemu memberi]
    minni, firdaus ibn suhaimi al-urduni

    ReplyDelete