Thursday, December 29, 2011

Bagaimana rasa bersyukur, jika tidak didatangkan kepayahan sebelumnya.....


Rasa bersyukur..

Kehidupan hari ini akan memberi kemanisan jika ada manusia yang bersyukur. Kerana syukur akan lahir apabila manusia itu merasakan setiap apa yang dapat dilaksanakan olehnya bukan dari usahanya semata-mata. Begitu juga syukur kepada orang yang sentiasa memberi bantuan pada nya, agar ianya mengingatkan akan Allah yang senantiasa memberi nikmat kepada nya..

Dalam tidak sedar, orang yang tidak bersyukur sebenarnya orang yang lupa akan Tuhannya dan lupa kepada nikmat yang telah dikecapi. Istilahnya sama, seperti anak tidak mengenag budi orang tuanya, anak murid yang tidak mengenang jasa gurunya, pekerja yang tidak berterima kasih kepada majikannya. Apabila berada di posisi ini, maka lahirlah dikalangan kita manusia yang diistilahkan biadap, tidak hormat, tak kenang budi, derhaka dan sebagainya..

Akan tetapi istilah ini sebenarnya lebih teruk dan lebih tercela apabila manusia itu sendiri tidak cuba mengenang akan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Ianya simple, tetapi ini lah yang telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya..

" Katakanlah Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Katakanlah: Dia-lah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan hanya kepada-Nya-lah kamu kelak dikumpulkan."

Orang yang sentiasa bersyukur akan sentiasa terdedah kepada pertolongan Allah. Orang yang sentiasa bersyukur akan akan merasai tenangnya jiwa dan orang yang bersyukur akan merasakan dirinya sentiasa dihargai. Daripada itu, dirinya akan jauh daripada perasaan kecewa, lemah semangat, dan jiwanya akan sentiasa terbuka untuk menghadapi segala sesuatu..

Ada benarnya, Syukur itu akan lahir daripada adanya sabar, adanya pengorbanan, adanya penghayatan. Bagi manusia yang dirinya berada dalam perjuangan agama, akan dirasainya anugerah itu..bukan senang untuk dirasai, tapi bukanlah sesuatu yang payah untuk mendapatkan nya...

Hari ini, belajarlah untuk berubah, dulunya jarang-jarang bersyukur, biarlah hari ini sedetik usia kita sentiasa adanya rasa syukur. Dulunya tidak sabar, hari ini belajarlah untuk sentiasa sabar, sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan dalam kehidupan.. yakin pada Allah, Allah sentiasa menyayangi kita, cuma tinggal hanyalah diri kita, adakah kita menyayangi diri sendiri dan benar-benar menyayangi Allah dan Rasulnya....

waAllahua'lam

Sunday, October 9, 2011

Tiada ketenangan..jika hati sentiasa berdosa pada Tuhan..


Tiada ketenangan..jika hati sentiasa berdosa pada Tuhan..

Orang yang ramai selalu berkata "solat x elok camna nk elak dosa,nak hati tenang jauh sekali".. dan kita juga biasa dengar " Seorang mukmin sejati tidak akan cuai dalam melaksanakan solat fardu termasuk jaga waktu,tertib solat dan banyakan ibadat sunat"..

"Bercakap pasal solat, kita tahu bahawasanya solat itulah ibadah yang paling baik untuk dekatkan diri dengan Tuhan..bagi yang ada masalah hati, ubatnya mgkin ada disini.. Try dulu tengok camna reaksi selepas kita betul2 nekad untuk jaga waktu ibadah kita pada Allah S.W.T..

Tapi pernah ada yang bagitau "saya dah cuba untuk jaga solat, tp xbleh khusuk gak".. yang lain ade jgk kate cmni " solat khusuk dah rasenye, tapi xbleh nk elak jgak dri buat dosa, cmna ekk"..ade jugak yang cmni.. apa-apa pun ,masalah ini timbul dari hati kita sebenarnya.. hati kadang2 nak jadi baik, kadang kadang nak jadi jahat pun ade gak, macam2 cite zaman sekarang, lebih2 lagi maksiat depan mata terlalu banyak lani..

Orang yang ada fitrah dalam dirinya untuk kembali pada Tuhan, perlulah sbar untuk menghadapi ujian ini.. hati nak tenang bukan susah pn sebenarnya, cuma nak dapatkan tenang tu, kene bekerja keras skitlah..same lah, nak kan benda berharga, mesti effort kena lebih skit.

Dalam kata lain tenang ini insyaAllah akan dpat klau kita betul jga hubungan kita dengan Allah, jaga ibadah, hindari maksiat, jadi org baik, buat baik dengan org lain, hormat mak ayah @ org tua, ceria, pemaaf, jaga aurat, jaga makan, elak dari makan benda yg shubhah dan banyak lagi benda2 yang baik2 yg Islam telah anjurkan pada kita untuk buat & sunnah Rasulullah s.a.w mesti jaga dan cuba untuk buat..

Tapi yang malangnya ada jgk yang kata cmni" ah, aku xkesah pun hati tenang atau x, yg penting hati puas".. puas cmana ek?? pernah ada hamba Allah tu cuba tegur kat kawan kita ni " weh, kau ni bila nak brubah, solat xjaga, kadang2 xsolat langsung, buat benda xelok bnyak jugak kau ni, kau xrasa ada something ke dlm hidup kau?? nak anak2 kau jadi mcm kau??" agak2 sahabt laa, tenang ke kehidupan camni??

Apa2 pun hal ini adalah tentang diri kita, nak hati tenang ke, xnak ke, nak buat dosa ke, xnak solat ke, ape ke.., semua kita.. saya cuba nak sampaikan kat sini, igatlah kita manusia biasa, saya pasti dan yakin, kehidupan yang jauh dari acuan agama ini, confirm 100% xkan dapat ketenangan hati..kenali lah yang halal , yg haram yg Allah larang, dan perkara yg bleh kita buat & kene tinggalkan dalam kehidupan seharian kita..

Percayalah, hati yang tenang itu akan hadir bila kita menjadi hamba kepada Allah S.W.T secara total..bagi yang ada kuarga, kuarga bahagia, bagi yg jadi anak, insyallah anak yg soleh, ibu bapa plak, ibu bapa yg baik & taat perintah agama, anak pun xakan ada something dalam hidup, dengar cakap mak ayah & sebagainya.. jadikanlah agama Islam itu cara hidup agar semua perkara yng kita lalui seharian ini, akan ada kemanisan, dapat rasa hati tenang yg tiada tandingan. masalah yang hadir pun rase mcm xde masalah pun sbenarnya...punye seronok apabila dapat hati yng tenang ni kawan2..

Lastly, peace for ourlife style if you want to change to Islam is the way of Life.. Jangan berputus asa untuk mencari ketenangan hati dalam kehidupan..insyaAllah pasti anda akan temuinya.. dengan cara kembalilah kepada cara hidup Islam yg sebenar.. moga2 kita terpilih untuk dianugerahkan ketenangan hati dalam kehidupan, insyallah, amin..Waallahu a'lam.

Tuesday, July 26, 2011

Ahlan Ya Ramadhan..Kehadiranmu dirindui...

Ramadhan datang lagi bersama jutaan hikmah dan fadhilah. Ramadhan hadir dalam suasana yang begitu mendamaikan bagi setiap ummah. Kata orang, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi, ketiadaannya dirindui. Begitu hebatnya Ramadhan. Menyejukkan hati dan membuka taubat buat semua insan. Mendekatkan diri pada Tuhan dengan penuh keikhlasan.

Sepanjang berpuasa sebulan Ramadhan yang lalu, sebaik mungkin bekalan telah kita kutip untuk kita harungi setahun sebelum datangnya lagi Ramadhan kali ini, apakah masih lebat rimbunan Pohon Taqwa kita? Apakan masih bisa orang ramai berteduh mengambil manafaat darinya, atau sudah habis keguguran dedaunan hijau dek kurangnya siraman amal dan bajaan ibadat kita selama setahun ini?

Apakah masih berbuah pohon taqwa kita tadi sehingga dapat berbakti kepada makhluk Allah yang lainnya, atau usahkan berbuah sebiji dua lagi, tapi berputik bunga pun tidak dek kelalaian kita menyuburkannya dengan akhlak yang mulia berserta iman yang mantap sepanjang tahun selepas Ramadhan yang lalu? Tiada siapa yang dapat menjawabnya, selain diri kita sendiri…Perhatikan lah ‘Pohon Taqwa’ kita masing-masing.

‘Pohon Taqwa’ kita tidak lain dan tidak bukan adalah amalan seharian kita, amal ibadat seharian kita serta tingkah laku pada akhlak kita selama ini. Sejauh mana kita menjaga halal dan haram ketetapan Allah, sejauh mana kita berhati-hati dalam menangani setiap syubhah dalam hidup kita, itulah taqwa. Hanyutkah kita dengan dunia yang fana ini, atau masih kuat berpaut pada realiti akhirat yang menjadi destinasi setiap diri?

Kehidupan seorang mahasiswa Islam seharusnya memahami akan hakikat taqwa yang akan dibina selepas melalui madrasah yang sangat besar ini. Bulan tarbiyah yang dikurniakan Allah pada kita kali ini seharusnya diambil sebagai sesuatu yang luar biasa harganya, dan keampunan serta rahmat didalamnya di idam-idamkan setiap jiwa diantara kita. Lahirkanlah rasa di dalam diri kita bahawasanya ini adalah sesuatu yang cukup mahal harganya dan segala isi dunia tidak ternilai untuk membelinya.

Maka bersyukurlah, dan mohonlah pada Allah semoga masih dipanjang lagi umur kita agar bertemu dengan Ramadhan Karim, kerana Ramadhan adalah madrasah tarbiyah yang mendidik kita ke arah taqwa. Moga mendapat kesejahteraan yang berpanjangan dari sisi-Nya..amin..

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan…


Friday, February 4, 2011

PERJUANGAN , TARBIYYAH DAN AIR MATA..


PERJUANGAN , TARBIYYAH DAN AIR MATA..

Menyingkapi sirah perjuangan rasul-rasul ‘alaihimussolatu wassalam terdahulu, banyak perkara telah mengajar kita untuk pandai berdikari dalam kehidupan sebenarnya. Berdikari ini bukanlah berdikari membawa maksud yang biasa, tapi sebenarnya berdikari untuk seorang manusia dalam memilih kehidupan yang lebih baik, lebih bermanfaat, lebih harmoni dan lebih bahagia. Kerana manusia itu sebenarnya telah diberi pilihan oleh Allah, sama ada untuk memiliki kehidupan perjuangan ataupun kehidupan yang biasa seperti kebanyakan manusia yang lain.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]

Pada kehidupan hari ini, ramai manusia menyangka kehidupan mereka telah mendapat kebahagian. Namun kebahagian itu hanyalah bersifat sementara. Kita pasti kebahagian yang kekal itu milik Allah S.W.T, dan yang akan mendapatkannya itu pastilah orang-orang yang sentiasa redha dalam meletakkan kehidupan mereka beserta perjuangan Islam.

Apakah sebenarnya yang akan diperolehi sekiranya meletakkan kehidupan dalam perjuangan agama? Adakah ianya satu kehidupan yang mengembirakan? Adakah ianya sesuatu yang mudah? Allah S.W.T itu Maha Berkuasa. Kenikmatan dan kebahagian dalam kehidupan adalah hak milik Allah. Orang yang berjuang dalam agama Allah itu sebenarnya adalah orang yang menempah kesusahan. Akan tetapi kesusahan itulah yang memberi kemanisan dan ketenangan. Ianya tidak akan dikecapi melainkan yang berada di dalamnya sahaja. Tarbiyyah dari Tuhan untuk hambaNya yang beriman.

Orang yang sanggup menyusahkan kehidupannya kerana ingin melihat kemenangan itu milik Islam, adakah ianya cuai dalam membina kehidupan? Demi Allah, Tuhan pencipta sekalian alam. Alam dunia yang fana’ ini hanyalah sementara. Penipuan dengan kesenangan dunia yang sementara itu adalah ujian untuk hambaNya yang beriman. Dan kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan ketenangan itu hanyalah milik Allah. Kehidupan ini ibarat perjuangan yang kemenangannya itu pasti diperolehi. Ketenangan jiwa akan dirasai apabila diberi anugerah oleh Allah S.W.T keberkatan dalam kehidupan.

Apabila dijadikan kehidupan ini satu perjuangan, kita akan melihat hidup ini bukanlah sesuatu yang mudah dan pastinya kesukaran itu adalah perkara biasa. Beban yang ditanggung sehingga tiada deria yang dirasakan. Air mata mengalir tanda pasra, kerana inilah jalan yang menjadi pilihan kerana pasti pada penghujungnya rahmat dan keampunan Tuhan Dihujungnya kemanisan dan tiada kemanisan yang dapat dirasai melainkan dicapainya dengan kepayahan dan ujian.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Berangkatlah kalian beramai-ramai (untuk berjuang di jalan Allah), samada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) mahupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian di jalan Allah (untuk membela Islam). Itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.( surah al Taubah ayat 41)


Monday, August 16, 2010

Ya Ramadhan..Tuhan masih lagi memberi peluang untuk bertemu mu..


Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum Warahmatullah..

Syukur pada Allah, Tuhan sekalian 'alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahu 'alihi Wasallam, tidak lupa kepada pejuang-pejuang agama Allah yang masih hidup atau yang telah pergi menemu iIlahi.

Ramadhan datang lagi. Dalam detik hari-hari yang berlalu dengan begitu pantas, berjumpa lagi kami dengan mu ya Ramadhan, dengan izin Allah. Moga kali ini lebih baik dari sebelumnya, amin Ya Rabb. Pada permulaan Ramadhan ini, mungkin ramai saudara-saudara seagama sibuk dengan pengisian demi pengisian sebagai makanan rohani ini. Moga Allah Mencurahkan rahmat-Nya ke atas diri kita bersama.

Jadikanlah dalam diri ini sesuci-sucinya bagi menggapai rahmat,redha dan keampunan daripada Allah. Sesungguhnya telah hilang dalam hati-hati manusia itu untuk menghayati Ramadhan kecuali bagi hamba-hamba yang mengetahui akan kelebihannya dan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam.

“Sekiranya umatku mengetahui kebaikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka menginginkan agar sepanjang tahun semuanya menjadi Ramadhan.”

Mungkin lebih sukar perjalanan kali ini bagi sahabat-sahabat seperjuangan dalam menempuhi medan masing-masing. Moga Allah tabahkan hati kalian dalam perjuangan Agama ini. Perjuangan ini bukanlah sesuatu yang indah dan senang dalam melaluinya. Akan tetapi perjuangan ini kita sanggup susah kerananya dan kita sanggup bebankan diri kerananya hanyalah sebagai tanda kita amat mencintai akan Allah dan Rasul-Nya dan menyayangi akan agama Islam ini.

Besarlah pahala bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersabar dan berjuang di jalan-Nya. Berbuat baiklah sesama manusia walau siapapun mereka dalam menyampaikan risalah Islam. Moga Islam itu dapat dihayati dan dijulang tinggi, walau dituntut seribu pengorbanan dan kesusahan. Moga keampunan Allah sentiasa bersama kita. Amin.

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan keatas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”

...SALAM RAMADHAN...

Sunday, May 16, 2010

Tuntutan jihad bagi pemuda yang beriman..


Petang yang tenang. Angin lembap kepanasan berhembusan bagi menyegarkan insan yang kesejukan, mata segar melihat rumpunan padi kehijauan, lapang di fikiran, tenang terasa di ubun-ubun kepala. Terfikir sendirian, milik siapakah kesusahan ini? Adab orang berjuang bukanlah sekadar menanti kesenangan di mata yang berpanjangan.. itulah dunia dan cubaan.

Dikampung halaman, indah petang dengan kelibat pemuda bertempiaran, anak gadis bercengkerama berbagai rupa di jalan , jauh disudut hati terpendam, kemanakah hilang diriku sepanjang menikmati indahnya alam. Sedih pilu mengenangkan nasib insan yang mempunyai Tuhan, kerana tiada endah akan hidup tiada mahu berpandukan Al-Quran. Mungkin bukan juga silap mereka, andai dijadikan Tuhan aku tiada arah hidup dan tujuan, mungkin nasib hidupku lebih malang. Bersyukur pada Tuhan akan kesenangan yang sentiasa diperolehi, moga Allah membukakan jalan, agar aku mudah bekerja di tanah kelahiranku sendiri, untuk bakti bagi dunia dan akhirat yang dinanti-nanti, agar dihadiahkan rahmat dari Tuhan yang tiada dapat ditandingi..

Perihal kehidupan bagi pemuda yang mengaku dirinya beriman, akan terpancar jernihnya cahaya bagi suluhan untuk menuju syahid impian, kerana matlamat mencari redha Tuhan, bukan mudah untuk diketemukan. Ayah dan bonda dijadikan teladan, pengajaran ditelan tanpa rasa manis atau kepahitan, kata-kata mereka, biar susah hidup sekarang , agar mendapat kesenangan yang berkekalan.

Sedarlah insan, walau dimana sekalipun kita, jihad bukanlah suatu yang bermain dengan kesenangan, kerana disana ianya penuh dengan pancaroba dan kehinaan. Pastikan jelas dalam diri, kebaikan haruslah mengatasi setiap perkara yang dibawa pergi, kerana qudwah dari insan yang dipilih Tuhan bukanlah mengajar untuk menyakiti, tetapi mengajar agar manusia tunduk memuji Ilahi, agar dibina kasih sayang yang berpanjangan, agar semua umat merasai kemanisan kehidupan dengan iman disisi.

Bawalah cahaya Islam ini agar bersinar kembali kemurnian akhlak yang dibawa Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasalllam. Usah merasa jemu bertempiaran dengan ilmu agar peringatan sentiasa segar disetiap sudut perjalanan. Tiada dapat dinilai jihad orang-orang terdahulu bagi memelihara umat hari ini untuk mengenal Tuhan. Pada kediaman kita hari ini tidak lagi diseru untuk berkorban dengan darah dan anggota tubuh badan. Benarkah iman kita hari ini hanya melihat sahaja kelibat saudara seagama dimamah hidup dengan kekejaman dan keganasan oleh manusia yang tidak mengenal Tuhan?? Sungguh , kita hamba yang terlalu lemah yang tiada mampu memberi pertolongan. Sedarlah wahai insan, kita para mujahid pilihan Tuhan, bergeraklah untuk mengembalikan pendirian dan semangat yang telah lama hilang, bawalah Islam dengan penuh hikmah dan juga keberanian, agar kita sama-sama mendapat redha Tuhan, agar dapat merasai manisnya kenikmatan apabila di beri rahmat Tuhan. Doa senjata mukmin sejati, ilmu sebagai perancang kepada kemenangan Islam, ulama’ harus sentiasa didampingi agar meresap kedalam diri cinta kepada agama yang diredhai ini..moga sentiasa tabah diperjalanan..

Surah Al-Baqarah ayat 154.
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu ) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup (1), tetapi kamu tidak menyadarinya."

(1) yaitu hidup dalam alam yang lain yang bukan alam kita ini, di mana mereka mendapat kenikmatan-kenikmatan di sisi Allah, dan Hanya Allah sajalah yang mengetahui bagaimana keadaan hidup itu.

Monday, April 5, 2010

Cahaya kehidupan


Bismillahirrahmanirrahim..
Hari-hari yang penuh berliku, dilalui setiap insan beriman dengan bekalan-bekalan amal yang tiada pernah jemu memohon rahmat dan belas kasihan dari Tuhannya. Setiap sudut dan setiap detik pergerakannya, tiada pernah lalai akan dirinya dari lirikan mengingati Tuhan, lidah tiada putus memuji kebesaran Tuhan, masa lapangnya cuba diisi dengan alunan al-Quran, membuatkan jiwanya terasa tenang, hatinya damai, fikirannya lapang. Bukan kerana tiada ujian yang ditimpakan padanya, dan bukan juga kesenangan hidup yang dimilikinya. Kehidupannya hanya seperti insan biasa, ada masa dihadapinya ujian itu dengan titisan air mata, seolah tiada sanggup lagi membebankan diri menghadapinya, kadang leka dibuai keasyikan mimpi, kesenangan pandangan pada indahnya dunia yang melalaikan dan penuh tipudaya, seolah tiada kematian dihadapannya. Gembiranya hidup dengan kesenangan yang ada dihadapan mata, keasyikan dilamun cinta dunia.

Menjadi insan soleh disisi Tuhan didambakan setiap insan beriman. Walau dibadai gelora akan imannya, dihina akan kehidupannya, diuji walau sepahit manapun ujian, hatinya masih terpaut untuk menyembah syukur pada Tuhan, kerana keyakinan yang pasti pada hatinya, itulah kehidupan sebenar untuk menuju kebahagian, tiada difikirnya kebahagiaan sementara, dihadapkan pada hatinya untuk dicari hanyalah yang kekal abadi. Doa penguat dirinya tika tiada siapapun disisi. Dipohon kepada Tuhan agar dibesarkan imannya untuk menghadapi ujian dan rintangan yang penuh noda. Yang pasti, selangkah dirinya mendekati Tuhan, sudah pasti Tuhan menghampirinya beribu-ribu langkah.

Tika titis air mata segar mengalir kerana mengingati perihal dosa-dosa terdahulu, hatinya terbuku sayu, apakah belas kasihan Tuhan akan melindungi dirinya dari azab dan siksa neraka Tuhan, apakah amalan-amalannya yang sentiasa dibelenggu ujub diterima Tuhan, kusutnya pikiran tiada tergambar untuk diluahkan, keresahan-keresahan bermain-main di benak fikiran, buntu jalan dihadapannya. Cinta yang didambakan adakah ia menjadi permainan antara nafsu dan syaitan, menjadi persoalan yang tiada berkesudahan.

Al-Quran pernah menyebut bahawa manusia itu adalah dekat dengan Tuhannya. Tiada batas pengataraan yang menjadi halangan bagi hamba dengan Tuhannya. Kemuliaan yang telah diberikan Tuhan untuk hambanya, Maha Pengasih dan Penyayang Allah pada hamba-hambanya. Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (surah Al-Baqarah: 186)

Sungguh, pintu rahmat Tuhan sentiasa terbuka luas kepada hambanya, dan orang yang beriman itu selalu berbisik dengan Tuhannya setiap waktu, dengan mengerjakan sembahyang dan berdoa kepada Ilahi. Walau diuji, hatinya mendapat ketenangan yang tiada disangka-sangka datangnya ia, benarlah firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu[99], Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (ada pula yang mengartikan: Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Berdoa dan mengadulah pada Allah, kerana hanya pada Allah letaknya ketenangan hati.) (surah Al-Baqarah: 153)

Doa Rasulullah kepada Allah yang menjadikan hati baginda tenteram dan tenang, sekembalinya baginda dari Taif dengan keadaan kedua kakinya luka berdarah, serta hati yang amat kecewa:
“Ya Allah! Aku mengadukan kepada Engkau kelemahan kekuatanku dan kekurangan tipudayaku, serta kelemahanku menghadapi orang ramai. Ya Allah yang Maha Penyayang! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkau adalah Tuhanku.”

Jangan menjadikan suatu kelemahan dalam diri menangisi semalam yang telah pergi, kerana orang yang beriman kuat keyakinannya terhadap Tuhan, percaya akan qada’ dan qadar Tuhan, tiadalah mahu menyerahkan dirinya menjadi mangsa peristiwa yang telah lalu, bahkan dia menyakini, bahawa sesuatu yang telah ditentukan Allah mesti berlaku, diterimanya dengan hati yang penuh redha. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Allah telah mentaqdirkan, dan apa yang dikehendakiNya diperbuatNya, kerana mengucapkan ‘kalau…..’ hanya membukakan kerja syaitan.” (diriwayatkan oleh Muslim)

Orang yang beriman tidak akan terumbang-ambing antara “kalau” dan “seandainya” kerana ia akan melahirkan rasa kekecewaan dan keluh kesah yang menyebabkan hilangnya ketenangan hati, membuatkan rasa penyesalan kepada perkara yang telah lalu dan benci kepada yang sedang dihadapinya. Hidupnya dibelenggu kepahitan cubaan yang diulang-ulang mengingatinya, kesedihan yang melanda seolah-olah racun berbisa yang tiada penawar baginya.

Ya Allah, jauhkanlah kami dari kegelapan hati yang penuh noda dan domba, hati yang tiada khusuk dalam ibadah kepadaMu, hati yang tiada tenang dalam mencari jalan pulang. Selamatkanlah kami dari kebencianMu ya Tuhan, dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa dinaungi rahmat dan kasih sayangMu, agar nur kehidupan meresap kedalam batin dan jiwa kami, ditunjukkan kami jalan redhamu, agar kami bersama-sama para anbia’ , para syuhada’, para solehin dalam perjalanan di mahsyarmu kelak, diberi kebaikan dan diberi anugerah syurgaMu yang tiada terlintas akan istimewa ianya tercipta hanyalah dijadikan untuk hamba yang Engkau redhai. Wassalam..