Thursday, March 25, 2010

Gelora Iman Dikala Usia Muda


Assalamualaikum warahmatullah..
Alhamdulillah, mengucap syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam, tidak lupa, sama-sama untuk memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wassalam. hari-hari yang sentiasa tidak kita dketahui akan perihal cubaan dan dugaan ini, sama-sama kita tempuhinya dengan nilai iman dan taqwa yang sentiasa meningkat dari hari ke hari. InsyaAllah..

Seorang muslim yang sejati akan sensatif apabila disebutkan kepadanya berkaitan nilai redha Allah S.W.T. Dan pada hakikat kehidupan umat manusia yang muda usianya di hari ini yang begitu mencabar akan perihal hidupnya, terus di uji dengan keseronokan-keseronokan yang membuatkan hilang pedoman hidup dan dalam masa yg sama hilangnya nilai agama dalam diri. Seseorang pemuda yang betul-betul mencari agama akan terus dihimpit kesukaran dan kesengsaraan yang tidak akan putus kunjung tibanya, tetapi tiada baginya untuk diendahkan, nilai keimanannya menangkis segala macam bentuk keresahan disebabkan hatinya sudah terpaut akan cinta pada Tuhan dan perjuangan agama yang dibawanya, dan telah terpancar akan janji-janji Allah dihadapannya tanpa hijab.

Di dalam sebuah hadith sahih yang masyhur bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“ Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di bawah teduhan rahmat-Nya; pemerintah yang adil, pemuda yang menggunakan masa muda remajanya dalam beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah- mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita lalu dia berkata,’sesungguhnya aku takutkan Allah’, seseorang yang member sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah S.W.T berseorangan diri sehingga berlinangan air matanya.” (riwayat al-Bukhari, Muslim)

Daripada sabda Rasulullah ini dapat kita fahami, Allah telah mengangkat darjat satu dari tujuh golongan yang mendapat lindungan Allah dengan teduhan rahmat-Nya diakhirat kelak ialah pemuda. Tidak diragui lagi akan kebangkitan golongan pemuda dari kalangan sahabat-sahabat baginda yang mempunyai jiwa yang besar dan ketaatan kepada Allah. Sejarah menceritakan bagaimana hebatnya pencarian redha Allah dikalangan sahabat-sahabat nabi yang pada usia muda nya telah mencapai hakikat iman dan jihad yang paling tinggi. Betapa tubuh-tubuh kecil ini boleh membuatkan orang dewasa pada zaman kita hari ini menundukkan muka kerana malu..
Al-Tabrani meriwayatkan bahawa Abdullah bin Zubair r.a dan Abdullah bin Ja’far r.a berbaiah kepada Nabi S.A.W ketika mereka baru berusia 7 tahun. Ketika Rasulullah S.A.W melihat keduanya, Baginda tersenyum dan menghulurkan tangan Baginda, lalu membaiah kedua-duanya.

Besarnya jiwa sahabat-sahabat yang diusia sekecil itu mampu melontarkan setinggi-tinggi keyakinan akan hakikat perjuangan yang jelas dihadapan mereka untuk meraih redha Allah semata-mata.
Dikeluarkan oleh ibn ‘Asakir daripada Sa’ad bin Abi Waqqas r.a , katanya : “Rasulullah S.A.W mengembalikan adikku ‘Umair bin Abi Waqqas kepadaku dari medan pertempuran Badar kerana dia masih kecil.” Lalu ‘Umair pun menangis memohon supaya Nabi S.A.W mengizinkannya keluar berjihad di jalan Allah. Akhirnya Rasulullah S.A.W telah memberikan keizinan. Kata Sa’ad “maka aku pun mengikatkan sarung pedangnya kepada tubuhnya. Dia telah menyertai perang Badar. Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang sering aku usap dengan tanganku.”
Di dalam kitab al-Isabah dinyatakan, sebelum ‘Umair dilarang oleh Rasulullah S.A.W, dia dengan sembunyi-sembunyi telah cuba menyelinap ke dalam barisan para sahabat. Apabila Sa’ad melihatnya, beliau bertanya lalu di jawab oleh ‘Umair r.a, “aku takut Rasulullah S.A.W melihatku, lalu aku akan dihalangi kerana aku masih kecil, sedangkan aku amat cinta untuk bejihad, agar Allah mengurniakan syahid kepadaku.” Ibn Saad dan al-Bazzar meriwayatkan Sa’ad r.a menyatakan,, akhirnya ‘Umair r.a syahid ketika usianya sekitar 16 tahun.

Apakah sebenarnya yang telah bergelora dalam hati seorang remaja yang umurnya belasan tahun ni? Benarlah , sekali iman telah menjalar segar di dalam diri seseorang , segalanya sedia di korbankan demi menyempurnakan tuntutan iman. Wallahua'lam..

(dipetik dari majalah SOLUSI)

Friday, March 12, 2010

Hidup Berjuang..


Hidup berjuang..
Dikala perjalanan hidup yang setiap hari, setiap ketika mesti ditempuhi ini, berusahanya seseorang insan itu untuk melengkapi dirinya dengan wadah-wadah terbaik bagi mencari kesempurnaan sifat seorang insan yang bertuhan, bagi menjadikan diri seorang yang tenguhnya pada pendirian dan juga iman, agar tidak goyah apabila di datangkan padanya ujian. Mencari kelemahan pada diri sebagai ubat dikala kesombongan menguasai diri adalah sesuatu yang perlu bagi kita dalam menjauhi setiap perkara yang tidak baik. Kerana di jadikan Allah, manusia itu bukan hanya pada jasadi, tetapi dijadikan Allah kesempurnaan penciptaan manusia itu dengan akal yang mana dengan akal inilah kita mengawal nafsu dengan keimanan dan ketaqwaan dalam diri. Menatapi sirah-sirah perjuangan orang-orang terdahulu dalam mempertahankan perkara kebaikan dan menolak segala yang mendatangkan kemudharatan, kerana jelas pada mereka kemudharatan itu membinasakan insan, yang juga menghilangkan kebaikan dalam kehidupan atau memungkinkan kecelakaan daripada Tuhan. Mereka itulah para anbia’ alihimussolatu wassalam, para syuhada’, para alim ulama’.

Apakah kiranya perkhabaran Tuhan yang diturunkan dari “Luh mahfuz” ini suatu yang tiada nilai bagi kita? Kenapa keangkuhan dan kedegilan hanya pada kenikmatan yang dikecapi, tetapi tidak pula kepada kepayahan dalam pencarian sinar nur Ilahi? Tertipunya diri dengan keindahan dunia yang tiada nilai tanpa kemantapan iman disisi. Maha Suci Allah yang telah meniupkan fitrah bertuhan kepada setiap hambanya, tetapi adakah kita mengerti? Angkuhnya diri apabila kesenangan menyelubingi diri, kefana’kan dunia dijadikan matlamat yang tertinggi. Insafilah diri dan carilah jalan untuk kembali pada Tuhan kerana kita tidak mampu berdiri dengan hanya seorang diri. Firman Allah yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum- ukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang bukti keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana…”. (Surah al Baqarah :208-209)

Kenikmatan yang dijanjikan Tuhan telah pun kita ketahui, iaitu terletaknya hanya pada jalan menegakkan agama Islam yang dicintai. Ini kerana kita sedar bahawa Islam lah satu-satunya agama yang mengajar kita untuk menggapai kesempurnaan diri khususnya. Indahnya hidup apabila meletakkan diri dalam perjuangan agama, kerana keyakinan kita pada janji Allah bukan hanya setakat di dunia, tetapi pasti janji Allah itu pada kehidupan akhirat yang mendatang. Manusia cukup yakin akan kehidupan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Dan bagi kita orang yang beriman, Allah telah menyatakan akan balasan Nya di akhirat mendatang .

Mewaqafkan diri dalam perjuangan menegakan agama tercinta ini adalah sesuatu yang cukup payah.Kepayahan yang menuntut kepada besarnya pengorbanan. Tetapi kepayahan dan pengorbanan inilah yang akan memberi kita ketenangan hidup yang cukup maximum. Jiwa terasa damai, masalah yang tidak pernah lengang tidak sedikit pun meracuni diri, kerana iman kepada Allah itu yang sangat luar biasa. Percayalah, jika kita betul-betul yakin dengan beriman kepada Rasulullah yang kita terlalu sayangi dan kasihi, mengapa kita tidak menyusahkan diri sebagai mana Rasulullah menyusahkan diri dalam menyampaikan risalah Islam agar semua umatnya merasai keimanan kepada Allah S.W.T, agar semua umatnya kembali mengesakan Allah S.W.T. Keraguan-keraguan pada hal-hal dalam kehidupan tidak akan melunturkan sedikit pun keyakinan bagi insan yang berjuang. Percayalah Allah telah berfirman;

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncangkan (dengan berbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata" kapankah datang pertolongan Allah?" ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat" (Surah Al-Baqarah ayat:214)

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat ayat:15)

Berdoalah pada Allah agar dilapangkan dada dalam mencari ilmu agama, dan dapat menyampaikannya dengan cara yang paling baik. Alangkah sayangnya jika kita mempunyai kesedaran untuk kembali pada Allah tetapi tidak dapat membawa keluarga bersama-sama mencintai jalan perjuangan ni. Allah tidak pernah membebankan kita dengan apa-apa yang kita tidak mampu menanggungnya. Sungguh Allah Maha Penyayang pada hambanya dalam menjalani liku-liku kehidupan. Ingatlah kita tidak keseorangan dalam berjuang, kerana pasti bersama-sama kita keredhaan Allah dan sahabat-sahabat yang seiringan, kemenangan yang dijanjikan Allah bukan sekadar di dunia, tapi juga di akhirat menjadi impian setiap insan yang berjuang. Jadilah orang-orang yang sentiasa menambah baik akan taqwa dan iman kepada Tuhan. Kerana orang yang dekat hatinya pada Allah tiada keras hatinya, bersikap lemah lembut pada sekalian manusia dan juga makhluk, mempunyai sikap tawadu’ yang cukup tinggi, pergantungan dan harapannya disandarkan dengan sepenuhnya pada Tuhan, tiada pernah putus asa dan berduka cita apabila diuji dengan kegagalan dan dugaan hidup, suci hatinya daripada keterikatan dan kecintaan perkara dunia melebihi keterikatan untuk mencintai akan Allah dan Rasulnya. Wallahua'lam..

Tuesday, February 16, 2010

Kejernihan Hati...



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala puji bagi Allah , Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga baginda, seluruh para pengikut baginda yang terus bejuang dalam menegakkan kalimah tauhid, sahabat seperjuangan walau di mana berada, moga kasih dan rahmat Allah sentiasa berpanjangan bersama kita.

Terlalu sukar bagi diri untuk menilai sejauh mana pengharapan atau nilai kecintaan pada agama yang dianuti ini. Islam agama yang terlalu indah seandainya ada kejernihan pada hati dalam beragama. Kenapa perlu sedemikian rupa bagi menjadi seorang muslim yang soleh? terlalu sukarkah agama ini?? adakah ia membebankan jiwa ini?

Kekosongan jiwa daripada nur Tuhan. Pernahkah terfikir kenapa dijadikan kehidupan ini sesuatu yang sukar?? kesukaran ini adalah berpunca dari sukarnya diri untuk bersyukur pada nikmat Tuhan. oh Tuhan!! betapa besarnya nikmat yang selalu di perolehi, tapi tidak disyukuri..adakah diri sering hanya memikirkan kekusutan dari mencari kedaimaian. Jauhnya diri daripada kehidupan beragama.

"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu ialah hati." (Muttafaqun `Alaihi, dari Nu`man bin Basyîr).

Ada benarnya, hakikat nur kehidupan itu terlatak pada hati.. hati yang selalu mencari kejernihan dalam kehidupan beragama.

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” (Surah Asy-Syams 91: 8-10)."

Adakah benar jauhnya diri dari kehidupan beragama kerana lupanya pada kehidupan akhirat?

“Dan kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau.
Sedangkan akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.
Tidakkah kamu mengerti??”(Surah Al-An’am :32)


“Apakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat, Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (di bandingkan dengan kehidupan) akhirat Hanyalah sedikit”(Surah At-Taubah:38)


“Barangsiapa mengkehendaki kehidupan sekarang(duniawi) , maka Kami segerakan baginya di (dunia)ini apa yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.” (Surah Al-Isra’ 17: 18)

Carilah keikhlasan dalam kehidupan beragama kerana hati yang bersih dalam beramal melebihkan kita untuk tidak terpedaya kepada yang fana'.

“Dan barang siapa yang inginkan kehidupan akhirat dan berusaha kearah itu dengan sungguh-sungguh, sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik.” (Surah Al-Isra’ 17: 19)


Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: "Yang sangat aku takuti atas kamu adalah syirik kecil". Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah apakah syirik kecil itu." Jawab baginda: "Riya'. Pada hari pembalasan kelak Allah berkata kepada mereka; pergi lah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia, lihatlah disana kalau-kalau kamu mendapat kebaikkan dari mereka."

Moga kita menjadi hamba Allah yang bernar pada taqwanya, yang hebat dalam tawakalnya, yang banyak dalam syukurnya, yang tidak pernah jemu dalam pengharapannya pada Allah, yang meletakkan kecintaannya pada kehidupan beragama melebihi cinta pada dunia, menjadikan jalan perjuangan itu suatu yang terlalu indah, kerana hijab pandangannya telah terbuka,dari kefana'kan dunia kepada pandangan kekal abadi..akhirat menanti..
Wallahua'lam..

Sunday, January 24, 2010

Duhai Hati..


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, mengucap syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
Dalam menempuh alam kehidupan yang penuh pancaroba, terkadang tersepak jatuh tersandung, kadang hidung berdarah dek kepanasan perjalanan , kadang mengeluh berpanjangan, kadang teman yang tiada diundang. Semuanya menimbulkan keresahan hati bila mana mengenangkan nasib yang selalu malang ini.
Hati yang gelisah.

Ada diceritakan dalam kisah para sahabat bahawa:
Seorang lelaki berjumpa Ibnu Mas'ud meminta nasihat untuk dijadikan ubat jiwanya yang sedang resah gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa.

Ibnu Mas'ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya ia menasihati agar sahabat tadi melakukan tiga (3) perkara iaitu:
1 . Mengunjungi tempat orang membaca al-Quran. Mendengar baik-baik orang yang membaca al-Quran atau dia sendiri boleh turut serta membacanya.
2. Pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah, memohon ketenangan jiwa dan ketenteraman fikiran juga kemurnian hati.
3. Minta lah kepada Allah agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya.

Memiliki hati yang segar,yang sentiasa mengingati akan Tuhan, adalah impian setiap insan yang beriman. bukan mudah untuk ketemuinya dan bukan sesuatu yang terlalau sukar bagi yang ingin menggapainya..

"andai hati bersih, yang sentiasa melihat kepada nur Tuhan, apakah kita telah tergolong dikalangan hamba-Nya yang diterima amalannya? kadang hati keresahan, tertanya-tanya adakah amalan ku selama ini di terima Tuhan? Oh Tuhan, berapa resahnya kehidupan ku ini, yang selalu jauh dari mengingatkan akan diri Mu. akan tetapi, hasrat diriku agar Kau menerima diriku ini sebagai insan soleh selalu ku lirikkan didalam setiap sujudku pada-MU. ampunilah diriku wahai Tuhan, kasihanilah diri wahai Tuhan, tunjukkanlah aku jalan redha-Mu.
mengapa setiap kali diulik keresahan, hatiku ragu untuk memperbanyakkan amalku pada-Mu? keraguan yang aku selalu cuba untuk leraikan. adakah aku jauh dari sudut mengenali-Mu wahai Tuhan.. dimanakah diriku disisi-Mu? terlalu jauh jurang hatiku dengan ma'rifat-Mu..
tika aku mengalunkan setiap sifat2-Mu, adakah aku betul2 taqwa pada-MU? adakah Kau mnerima setiap keluhan hatiku yang penuh kemaksiatan pada-Mu, setiap keluhan yang tiada berpenghujung dalam menghadapi kehidupan dunia yang fana'. daku selalu mengharapkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia, tetapi adakah aku selalu untuk memohon petunjuk-MU, agar tenang hatiku di akhirat kelak? Ya Tuhan, terimalah taubat ku ini..
ampunilah daku wahai Tuhan.. sungguh aku tidak berdaya lagi untuk meneruskan perjalanan hidupku ini tanpa hidayah dan petunjuk dari-Mu..tunjukilah aku jalan yang Engkau reDhai. janganlah Engkau palingkan hidayah-Mu setelah Engkau memberi petunjuk padaku..jadikanlah aku hamba-Mu yang bersyukur dan kasihanilah diriku ini wahai Tuhan"

kepada Allah sahajalah kita memohon akan perlindungan dan kesejahteraan. moga Allah sentiasa merahmati dan mengasihi kita, walau apa jua keadaan kita..amin

Tuesday, December 29, 2009

Mencari bahagia dan ketenangan


Kedamaiaan jiwa dan hati...
Bismillahirahmanirrahim.. segala puji bagi Allah , Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga baginda, seluruh para pengikut baginda yang terus bejuang dalam menegakkan kalimah tauhid, sahabat seperjuangan walau di mana berada, moga kasih dan rahmat Allah sentiasa berpanjangan bersama kita.

Pasti di antara kita merindukan hati yang sentiasa tenang dan jiwa memiliki kebahagian. Sebagai insan yang bergelar da’ie, persoalan dimanakah letaknya kebahagiaan dan ketenangan itu mestilah di cari pada tempat yang sepatutnya , bukan pada letaknya penglihatan dunia, tetapi jauh letaknya, hanya pada mata hati yang sentiasa merindui akan kehidupan akhirat yang abadi. Fikir dan perhatikanlah pada masalah-masalah yang timbul pada kita dengan hati yang penuh taqarrub pada Allah,insyaAllah pasti dibukakan pintu kebaikan oleh-Nya bagi mendapatkan ketenangan hati yang tiada terhingga. Percayalah, andai diberi pilihan untuk memiliki kemewahan dan kebahagiaan dengan harta atau pandangan dunia semata-mata, bahagianya hanyalah sementara.

Fitrah dijadikan Allah pada manusia yang penciptaannya sempurna, kebahagiaannya hanyalah kerinduan pada redha Allah semata-mata, kerana kebahagian pada harta dunia bukanlah kebahagiaan yang kekal, bahkan boleh mendatangkan bencana dan malapetaka. Sebab itulah diperingatkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud;

Harta-benda dan anak-anak mereka(kaum munafiq) janganlah engkau mengkagumi mereka, kerana Allah hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan akan hilang nyawanya ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.
(surah Al-Taubah: ayat 55).

Dalam satu demensi ‘alam’ yang mana manusia pada hari ini bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan, dan sesungguhnya telah mencapai kemenangan dengan senjata ilmu pengetahuan. Akan tetapi dalam perjuangan melawan nafsunya sendiri, belum lagi mengarah kepada kemenangan, sedang senjata ilmu pengetahuan tidak dapat menolongnya. Disinilah mula kelihatan terpancarnya sinar fitrah yang di jadikan oleh Allah kepada manusia bahawa diakui agamalah yang dapat dijadikan teman dalam perjuangan melawan hawa nafsu. Maha Suci Allah yang menjadikan manusia itu dalam keadaan yang begitu sempurna.

Dimanakah letaknya kebahagiaan itu wahai para da’ie? Kebahagian itu sebenarnya terletak dalam diri manusia itu sendiri. Kebahagian manusia adalah dirasai dalam batinnya sendiri, bukan didatangkan dari luar. Jiwa yang bersih, hati yang tenteram, fikiran yang lapang dan perasaan yang tenang hakikatnya tumbuh dan bersemi dalam diri manusia itu sendiri, bukannya dari luar. Itulah hakikat iman, yang taqwa seseorang mukmin itu,penyerahan dirinya kepada Yang Maha Esa, cintanya yang tiada terhingga, pada zahirnya amal dan ibadah yang tiada putus-putus, mencari kesenangan dunia bagi kesempurnaan kehidupan akhirat, hanyalah pada redha Allah semata-mata. Maha Susi Allah yang sentiasa membawa manusia itu kejalan kebaikan.

Orang yang tiada beriman itu tidak mengetahui rahsia hidup, dari mana? Di mana kemana sesudah hidup yang fana ini? Di umpamakan bagai orang yang berjalan di padang tandus, tiada arah tujuan yang dilihatnya hanyalah cahaya panas(fatomorgana), dikiranya air yang tergenang, sesampainya ia hanyalah tipuan panas mentari. Hidup dalam kesedihan yang trlalu jauh daripada sinar iman, hanya kegelapan hati yang menjadi teman. Gambaran yang serupa disebut dalam Al-Quran, firman Allah yang bermaksud;

Atau keadaan mereka bagai kegelapan di lautan yang dalam, dikepung gelombang demi gelombang, di atasnya awan gelap, dan kegelapan itu tindih-bertidih. Apabila dikeluarkannya tangannya hampir tidak kelihatan. Siapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah tiadalah akan mempunyai cahaya.
(surah Al-Nur: ayat40)

Orang beriman itu tahu kemana tujuan perjalanannya dan bagaimana kesudahannya, kerana mereka mengetahui dan yakin akan keterangan Allah yanga bermaksud;

Sesungguhnya orang-orang yang baik itu berada dalam kesenangan. Dan sesungguhnya orang-orang yang jahat berada dalam neraka. Mereka akan masuk ke dalamnya di hari pembalasan.
(surah Al-Infithar: ayat 13-15)

Tuhan mengajarkan bahawa kebahagiaan di dunia yang disebut “kehidupan yang baik” hanyalah akan diperoleh dengan keimanan dan perbuatan yang baik. Firman Allah yang bermaksud;

Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik….
(surah Al-Nahl: ayat 97)

Dan sampaikanlah berita gembira, kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih(perbuatan baik), bahawa mereka akan memperoleh taman syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….
(surah Al-Baqarah: ayat 25)

Mudah untuk kita sama-sama fahami, kebahagian dan ketenangan hati atau jiwa itu adalah anugerah yang tiada terhingga bagi hamba Nya yang beriman.Sentiasalah mengharapkan belas kasihan dari Tuhan Yang Maha pengasih serta tidak putus-putus memohon bagi mendapatkan rahmat Allah seterusnya mendapat ketabahan dalam perjalanan hidup yang masih kabur akan keampunan dari dosa-dosa yang telah lalu. Sama-samalah kita dalam perjalanan yang singkat ini mencari dan mendapatkan taqwa yang sempurna akan hakikat kehidupan yang abadi agar terbuka hijab pada pandangan yang fana’ kepada pandangan mata hati yang sentiasa hidup untuk menggapai redha Ilahi..semoga terhebat dalam perjuangan islam. wallahua’lam.
(sumber rujukan karangan Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Al-Iman Walhayah)

Saturday, September 12, 2009

Hujung perjalanan


Bismillahirrahmanirrahim..
Mgucap syukur kepada Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam keatas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w..

Salam tarbiah untuk diri dan sahabat yang sentiasa di kasihi, moga di rahmati Allah selalu..
Hidup pasti akan di sudahi dengan kematian. Jiwa akan sentiasa kerugian andai hati hilang arah tujuan, hati yang sentiasa resah dengan keduniaan.. moga sentiasa tabah di perjalanan. pernah berkata Imam Ahmad Bin Hambal, terdapat tiga peringkat zuhud bagi hamba Allah,

1) meninggalkan segala sesuatu yang haram, dan ini adalah zuhud orang awam
2) meninggalkan berlebihannya terhadap yang halal, ini adalah zuhud golongan yang khusus
3) meninggalkan segala sesuatu yang menghalang daripada mengingati Allah, dan ini adalah zuhud bagi orang yang arif

Kehidupan bagi kita umpama sebuah pelayaran , jaga lah hati. Bimbang andai hati terleka maka pasti sesat perjalanan. Yang pasti bagi kita, perjalanan ini masih jauh, dan benarlah yang jauh itu pasti kita tempuhi. Janji-Janji Allah pasti ada kemanisan sekiranya diri ini melepaskan tadbir pada hati, kuat berusaha pada jasadi, menginginkan keredhaan Allah semata-mata.

Di penghujung Ramadhan ini, di bukakan Allah bagi kita kelepasan daripada api neraka. Moga sama-sama mendapat rahmat& keampunan Daripada Allah..

Saturday, August 29, 2009

Salam Ramadhan...
















Bismillahirrahmanirrahim..
Salam Ramadhan buat semua. Moga rahmat Allah sentasa bersama sahabat-sahabat yang di kasihi. Di bulan yang mulia ini, di kesempatan yamg ada, marilah sama-sama diantara kita mempertingkatkan lagi amalan ibadah supaya suatu hari nanti kita menjadi salah seorang dikalangan orang-orang yang paling beruntung di hadapan Allah Subhanahuataala..insyaAllah.. moga Allah merahmati dan memberi berkat kepada kita semua di atas usaha yang kita jalankan di bulan yang penuh barakah ini..salam Ramadhan kareem...