Thursday, March 25, 2010

Gelora Iman Dikala Usia Muda


Assalamualaikum warahmatullah..
Alhamdulillah, mengucap syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam, tidak lupa, sama-sama untuk memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wassalam. hari-hari yang sentiasa tidak kita dketahui akan perihal cubaan dan dugaan ini, sama-sama kita tempuhinya dengan nilai iman dan taqwa yang sentiasa meningkat dari hari ke hari. InsyaAllah..

Seorang muslim yang sejati akan sensatif apabila disebutkan kepadanya berkaitan nilai redha Allah S.W.T. Dan pada hakikat kehidupan umat manusia yang muda usianya di hari ini yang begitu mencabar akan perihal hidupnya, terus di uji dengan keseronokan-keseronokan yang membuatkan hilang pedoman hidup dan dalam masa yg sama hilangnya nilai agama dalam diri. Seseorang pemuda yang betul-betul mencari agama akan terus dihimpit kesukaran dan kesengsaraan yang tidak akan putus kunjung tibanya, tetapi tiada baginya untuk diendahkan, nilai keimanannya menangkis segala macam bentuk keresahan disebabkan hatinya sudah terpaut akan cinta pada Tuhan dan perjuangan agama yang dibawanya, dan telah terpancar akan janji-janji Allah dihadapannya tanpa hijab.

Di dalam sebuah hadith sahih yang masyhur bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di bawah teduhan rahmat-Nya; pemerintah yang adil, pemuda yang menggunakan masa muda remajanya dalam beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah- mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita lalu dia berkata,’sesungguhnya aku takutkan Allah’, seseorang yang member sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah S.W.T berseorangan diri sehingga berlinangan air matanya.” (riwayat al-Bukhari, Muslim)

Daripada sabda Rasulullah ini dapat kita fahami, Allah telah mengangkat darjat satu dari tujuh golongan yang mendapat lindungan Allah dengan teduhan rahmat-Nya diakhirat kelak ialah pemuda. Tidak diragui lagi akan kebangkitan golongan pemuda dari kalangan sahabat-sahabat baginda yang mempunyai jiwa yang besar dan ketaatan kepada Allah. Sejarah menceritakan bagaimana hebatnya pencarian redha Allah dikalangan sahabat-sahabat nabi yang pada usia muda nya telah mencapai hakikat iman dan jihad yang paling tinggi. Betapa tubuh-tubuh kecil ini boleh membuatkan orang dewasa pada zaman kita hari ini menundukkan muka kerana malu..
Al-Tabrani meriwayatkan bahawa Abdullah bin Zubair r.a dan Abdullah bin Ja’far r.a berbaiah kepada Nabi S.A.W ketika mereka baru berusia 7 tahun. Ketika Rasulullah S.A.W melihat keduanya, Baginda tersenyum dan menghulurkan tangan Baginda, lalu membaiah kedua-duanya.

Besarnya jiwa sahabat-sahabat yang diusia sekecil itu mampu melontarkan setinggi-tinggi keyakinan akan hakikat perjuangan yang jelas dihadapan mereka untuk meraih redha Allah semata-mata.
Dikeluarkan oleh ibn ‘Asakir daripada Sa’ad bin Abi Waqqas r.a , katanya : “Rasulullah S.A.W mengembalikan adikku ‘Umair bin Abi Waqqas kepadaku dari medan pertempuran Badar kerana dia masih kecil.” Lalu ‘Umair pun menangis memohon supaya Nabi S.A.W mengizinkannya keluar berjihad di jalan Allah. Akhirnya Rasulullah S.A.W telah memberikan keizinan. Kata Sa’ad “maka aku pun mengikatkan sarung pedangnya kepada tubuhnya. Dia telah menyertai perang Badar. Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang sering aku usap dengan tanganku.”
Di dalam kitab al-Isabah dinyatakan, sebelum ‘Umair dilarang oleh Rasulullah S.A.W, dia dengan sembunyi-sembunyi telah cuba menyelinap ke dalam barisan para sahabat. Apabila Sa’ad melihatnya, beliau bertanya lalu di jawab oleh ‘Umair r.a, “aku takut Rasulullah S.A.W melihatku, lalu aku akan dihalangi kerana aku masih kecil, sedangkan aku amat cinta untuk bejihad, agar Allah mengurniakan syahid kepadaku.” Ibn Saad dan al-Bazzar meriwayatkan Sa’ad r.a menyatakan,, akhirnya ‘Umair r.a syahid ketika usianya sekitar 16 tahun.

Apakah sebenarnya yang telah bergelora dalam hati seorang remaja yang umurnya belasan tahun ni? Benarlah , sekali iman telah menjalar segar di dalam diri seseorang , segalanya sedia di korbankan demi menyempurnakan tuntutan iman. Wallahua'lam..

(dipetik dari majalah SOLUSI)

Friday, March 12, 2010

Hidup Berjuang..


Hidup berjuang..
Dikala perjalanan hidup yang setiap hari, setiap ketika mesti ditempuhi ini, berusahanya seseorang insan itu untuk melengkapi dirinya dengan wadah-wadah terbaik bagi mencari kesempurnaan sifat seorang insan yang bertuhan, bagi menjadikan diri seorang yang tenguhnya pada pendirian dan juga iman, agar tidak goyah apabila di datangkan padanya ujian. Mencari kelemahan pada diri sebagai ubat dikala kesombongan menguasai diri adalah sesuatu yang perlu bagi kita dalam menjauhi setiap perkara yang tidak baik. Kerana di jadikan Allah, manusia itu bukan hanya pada jasadi, tetapi dijadikan Allah kesempurnaan penciptaan manusia itu dengan akal yang mana dengan akal inilah kita mengawal nafsu dengan keimanan dan ketaqwaan dalam diri. Menatapi sirah-sirah perjuangan orang-orang terdahulu dalam mempertahankan perkara kebaikan dan menolak segala yang mendatangkan kemudharatan, kerana jelas pada mereka kemudharatan itu membinasakan insan, yang juga menghilangkan kebaikan dalam kehidupan atau memungkinkan kecelakaan daripada Tuhan. Mereka itulah para anbia’ alihimussolatu wassalam, para syuhada’, para alim ulama’.

Apakah kiranya perkhabaran Tuhan yang diturunkan dari “Luh mahfuz” ini suatu yang tiada nilai bagi kita? Kenapa keangkuhan dan kedegilan hanya pada kenikmatan yang dikecapi, tetapi tidak pula kepada kepayahan dalam pencarian sinar nur Ilahi? Tertipunya diri dengan keindahan dunia yang tiada nilai tanpa kemantapan iman disisi. Maha Suci Allah yang telah meniupkan fitrah bertuhan kepada setiap hambanya, tetapi adakah kita mengerti? Angkuhnya diri apabila kesenangan menyelubingi diri, kefana’kan dunia dijadikan matlamat yang tertinggi. Insafilah diri dan carilah jalan untuk kembali pada Tuhan kerana kita tidak mampu berdiri dengan hanya seorang diri. Firman Allah yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum- ukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang bukti keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana…”. (Surah al Baqarah :208-209)

Kenikmatan yang dijanjikan Tuhan telah pun kita ketahui, iaitu terletaknya hanya pada jalan menegakkan agama Islam yang dicintai. Ini kerana kita sedar bahawa Islam lah satu-satunya agama yang mengajar kita untuk menggapai kesempurnaan diri khususnya. Indahnya hidup apabila meletakkan diri dalam perjuangan agama, kerana keyakinan kita pada janji Allah bukan hanya setakat di dunia, tetapi pasti janji Allah itu pada kehidupan akhirat yang mendatang. Manusia cukup yakin akan kehidupan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Dan bagi kita orang yang beriman, Allah telah menyatakan akan balasan Nya di akhirat mendatang .

Mewaqafkan diri dalam perjuangan menegakan agama tercinta ini adalah sesuatu yang cukup payah.Kepayahan yang menuntut kepada besarnya pengorbanan. Tetapi kepayahan dan pengorbanan inilah yang akan memberi kita ketenangan hidup yang cukup maximum. Jiwa terasa damai, masalah yang tidak pernah lengang tidak sedikit pun meracuni diri, kerana iman kepada Allah itu yang sangat luar biasa. Percayalah, jika kita betul-betul yakin dengan beriman kepada Rasulullah yang kita terlalu sayangi dan kasihi, mengapa kita tidak menyusahkan diri sebagai mana Rasulullah menyusahkan diri dalam menyampaikan risalah Islam agar semua umatnya merasai keimanan kepada Allah S.W.T, agar semua umatnya kembali mengesakan Allah S.W.T. Keraguan-keraguan pada hal-hal dalam kehidupan tidak akan melunturkan sedikit pun keyakinan bagi insan yang berjuang. Percayalah Allah telah berfirman;

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncangkan (dengan berbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata" kapankah datang pertolongan Allah?" ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat" (Surah Al-Baqarah ayat:214)

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat ayat:15)

Berdoalah pada Allah agar dilapangkan dada dalam mencari ilmu agama, dan dapat menyampaikannya dengan cara yang paling baik. Alangkah sayangnya jika kita mempunyai kesedaran untuk kembali pada Allah tetapi tidak dapat membawa keluarga bersama-sama mencintai jalan perjuangan ni. Allah tidak pernah membebankan kita dengan apa-apa yang kita tidak mampu menanggungnya. Sungguh Allah Maha Penyayang pada hambanya dalam menjalani liku-liku kehidupan. Ingatlah kita tidak keseorangan dalam berjuang, kerana pasti bersama-sama kita keredhaan Allah dan sahabat-sahabat yang seiringan, kemenangan yang dijanjikan Allah bukan sekadar di dunia, tapi juga di akhirat menjadi impian setiap insan yang berjuang. Jadilah orang-orang yang sentiasa menambah baik akan taqwa dan iman kepada Tuhan. Kerana orang yang dekat hatinya pada Allah tiada keras hatinya, bersikap lemah lembut pada sekalian manusia dan juga makhluk, mempunyai sikap tawadu’ yang cukup tinggi, pergantungan dan harapannya disandarkan dengan sepenuhnya pada Tuhan, tiada pernah putus asa dan berduka cita apabila diuji dengan kegagalan dan dugaan hidup, suci hatinya daripada keterikatan dan kecintaan perkara dunia melebihi keterikatan untuk mencintai akan Allah dan Rasulnya. Wallahua'lam..